PUTRAJAYA: Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) telah menerbitkan Perangkaan Perdagangan Luar Negeri Sarawak 2026.
Penerbitan ini memaparkan statistik prestasi perdagangan Sarawak dengan pelbagai negara serta perdagangan antara wilayah Sarawak, Sabah dan Semenanjung Malaysia bagi tahun rujukan 2025.
Dalam kenyataan baru-baru ini, DOSM menyatakan bahawa pada tahun 2025, Sarawak mengalami prestasi perdagangan lebih perlahan berbanding tahun 2024.
Keseluruhan indikator dagangan menunjukkan penurunan merentas import, eksport, jumlah dagangan dan imbangan dagangan, mencerminkan penyederhanaan dalam prestasi ekonomi luaran negeri tersebut.
Jumlah dagangan Sarawak menyusut sebanyak 8.7 peratus, daripada RM198.7 bilion pada 2024 kepada RM181.3 bilion pada 2025.
Penguncupan ini didorong terutamanya oleh prestasi eksport yang lebih rendah, dengan kadar penurunan yang lebih ketara berbanding import.
Eksport jatuh sebanyak 10.4 peratus, menyusut daripada RM134.9 bilion pada 2024 kepada RM120.8 bilion pada 2025.
Sementara itu, import pula menurun sebanyak 5.1 peratus, daripada RM63.8 bilion kepada RM60.5 bilion.
DOSM memaklumkan bahawa walaupun berlakunya kelembapan keseluruhan dalam aktiviti perdagangan, Sarawak terus mengekalkan imbangan dagangan yang positif pada tahun 2025.
Lebihan dagangan tersebut berada pada paras RM60.3 bilion, meskipun penurunan sebanyak 15.2 peratus berbanding RM71.1 bilion yang dicatatkan pada tahun sebelumnya.
Penurunan eksport Sarawak pada tahun 2025 sebahagian besarnya didorong oleh penyusutan eksport sektor tenaga, terutamanya gas asli cecair (LNG), petroleum mentah dan kondensat.
Prestasi eksport yang lebih lemah ini seiring dengan beberapa faktor luaran, termasuk pertumbuhan ekonomi global yang perlahan, ketidaktentuan harga komoditi dan permintaan yang lebih rendah daripada rakan dagang utama.
Sementara itu, Jepun kekal sebagai destinasi eksport terbesar Sarawak pada tahun 2025 dengan jumlah eksport bernilai RM22.7 bilion yang merangkumi 18.8 peratus daripada keseluruhan eksport. Walau bagaimanapun, eksport ke Jepun menurun sebanyak 22.0 peratus tahun ke tahun terutamanya disebabkan oleh pengurangan eksport LNG, yang mencatatkan penurunan sebanyak 25.0 peratus.
DOSM turut memaklumkan eksport Sarawak ke negaranegara ASEAN berjumlah RM15.3 bilion pada tahun 2025, mencatatkan penurunan sebanyak 9.5 peratus berbanding tahun sebelumnya
Penguncupan ini disebabkan oleh pengurangan ketara dalam eksport petroleum mentah, yang merosot sebanyak 39.3 peratus kepada RM2.0 bilion.
Ini diikuti oleh penurunan dalam produk besi dan keluli, yang menurun sebanyak RM170.2 juta (-21.6 peratus), serta produk petroleum, yang berkurang sebanyak RM126.8 juta (-17.6 peratus).
Dalam kalangan negara ASEAN, Thailand merupakan destinasi eksport terbesar Sarawak dengan 33.1 peratus daripada jumlah eksport ke rantau tersebut, bernilai RM5.1 bilion.
Vietnam menduduki tempat kedua, menyumbang 18.7 peratus atau RM2.9 bilion, manakala Indonesia di tempat ketiga, mewakili 16.0 peratus atau RM2.4 bilion daripada jumlah eksport ke ASEAN. Dalam kenyataan tersebut juga, DOSM menyatakan bahawa eksport daripada sektor perlombongan terus mendominasi jumlah eksport Sarawak, merangkumi 54.2 peratus atau RM65.5 bilion.
Namun begitu, eksport daripada sektor tersebut merosot sebanyak 17.0 peratus (RM13.4 bilion) berbanding tahun 2024, terutamanya disebabkan oleh penurunan eksport LNG (-RM10.1 bilion atau -17.5 peratus) dan petroleum mentah (-RM2.3 bilion atau -16.4 peratus).
Sektor pembuatan bernilai RM33.2 bilion dan merupakan penyumbang kedua terbesar kepada jumlah eksport, menurun sebanyak 6.1 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Penurunan ini didorong oleh pengurangan eksport produk elektrik dan elektronik (E&E) (-RM2.0 bilion, -37.0 peratus), diikuti oleh produk besi dan keluli (-RM0.8 bilion, -16.8%) serta produk petroleum (-RM0.4 bilion, -20.7 peratus).Manakala eksport daripada sektor pertanian, yang merangkumi 17.8 peratus daripada jumlah eksport, meningkat sebanyak 8.0 peratus kepada RM21.6 bilion.
Pertumbuhan ini terutamanya didorong oleh peningkatan eksport minyak sawit & produk berasaskan sawit yang naik sebanyak 8.5 peratus kepada RM20.3 bilion. – Bernama






