ARTIKEL

SESI PERBINCANGAN…Delegasi Sarawak diketuai Awang Tengah dan wakil syarikat teknologi China ketika menyertai Meja Bulat Pelaburan Strategik Sarawak-China di Shanghai, China, semalam.

Sarawak-China Perluas Kerjasama Dalam Perkongsian Teknologi Dan Kepakaran Berimpak Tinggi

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SHANGHAI: Hubungan ekonomi Sarawak-China kini memasuki fasa baharu apabila kerjasama antara kedua-dua pihak mula diperluas daripada pelaburan kepada perkongsian teknologi dan kepakaran berimpak tinggi.

Timbalan Premier, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata pembangunan modal insan perlu bergerak seiring kemasukan teknologi bagi memastikan manfaat kerjasama itu dapat dikekalkan dalam jangka panjang.

“Namun, pemindahan teknologi tidak akan lengkap tanpa pembangunan modal insan. Kami mahu memastikan tenaga kerja tempatan mempunyai kemahiran untuk mengendalikan, menyelenggara, menyesuaikan diri dan akhirnya menghasilkan inovasi berasaskan teknologi berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perbincangan Meja Bulat Pelaburan Strategik Sarawak-China di Hotel Alila, di sini, hari ini.

Menurut Awang Tengah, Sarawak sedang meneroka kerjasama dengan syarikat China dalam pelbagai bidang berteknologi tinggi, termasuk automasi, kecerdasan buatan (AI), robotik, pusat data dan pengkomputeran berprestasi tinggi.

Katanya, Sarawak mahu memanfaatkan keupayaan teknologi dan perindustrian China bagi melengkapi kekuatan negeri dalam membangunkan ekonomi yang lebih moden dan berdaya saing.

“Antara bidang yang dikenal pasti termasuk automasi pintar, AI dan robotik pembinaan menerusi potensi kerjasama dengan Chang’an Robotics serta Chongqing Intelligent Construction and Construction Robotics Industry Center,” katanya.

Dalam bidang digital pula tambah Awang Tengah, Sarawak berminat meneroka pembangunan ekosistem pusat data dan pengkomputeran berprestasi tinggi bersama syarikat China yang mempunyai kepakaran khusus dalam AI dan teknologi pengkomputeran.

Beliau berkata antara syarikat yang mempunyai keupayaan berkenaan termasuk Shanghai Shengjin Intelligent Computing, Times Flying Technology Group dan Chongqing Huazhi Weilai Technology.

Katanya, kerjasama dengan pemain teknologi dan organisasi industri China juga berpotensi memperkukuh hubungan dalam aspek dasar, teknologi, perdagangan dan perniagaan antara inovator China dengan syarikat Sarawak.

“Pada masa sama, pembangunan tenaga kerja perlu diberi perhatian bagi memastikan teknologi yang dibawa masuk dapat dikuasai dan dikembangkan oleh rakyat tempatan.

“Sarawak mengalu-alukan Chongqing Yidiyou Education Technology untuk meneroka kerjasama dalam bidang teknologi pendidikan, latihan vokasional dan pembangunan kemahiran digital,” katanya.

Menurut Awang Tengah, pembangunan teknologi dan tenaga kerja perlu turut disokong pelibatan pemain industri tempatan bagi memudahkan pelaksanaan, kerjasama dan potensi usaha sama.

BERITA LAIN

Maklumat dasar kerajaan perlu sampai ke akar umbi

BINTULU: Penyampaian maklumat mengenai dasar, inisiatif pembangunan dan bantuan kerajaan perlu diperluas hingga ke peringkat akar umbi bagi memastikan rakyat mengetahui serta dapat memanfaatkan kemudahan

BERITA TERBARU