ARTIKEL

Sipos (tiga dari kiri) semasa kunjungan hormat ke atas Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg (tengah) di Kompleks Satria Pertiwi, di sini, hari ini. | Foto: Mohd Alif Noni

Sarawak dan Hungary teroka kerjasama biodiversiti

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Hungary berhasrat memperkukuh kehadirannya di Sarawak dengan memberi tumpuan kepada kerjasama pendidikan, termasuk penyediaan biasiswa, pertukaran pelajar serta hubungan antara universiti.

Duta Hungary ke Malaysia, Dr Sándor Sipos, berkata kedua-dua pihak bersetuju meningkatkan kerjasama dalam sektor pendidikan, dengan Hungary menawarkan 40 biasiswa kepada belia Malaysia untuk mengikuti program ijazah sarjana muda dalam bahasa Inggeris.

“Kami akan memperkukuh kerjasama dalam bidang pendidikan, termasuk program biasiswa dan pertukaran pelajar, serta hubungan antara universiti,” katanya pada sidang media selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Kompleks Satria Pertiwi, di sini, hari ini.

Sipos menambah, Hungary dan Kerajaan Sarawak turut mengenal pasti potensi bidang penyelidikan bersama, khususnya dalam biodiversiti, dengan memanfaatkan kekayaan alam semula jadi negeri ini.

“Kami melihat peluang dalam penyelidikan biodiversiti memandangkan Sarawak merupakan kawasan yang kaya dengan kepelbagaian biologi, selain potensi dalam bidang kebudayaan, pembangunan ilmu dan pembinaan bakat,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau berkata Hungary berminat memainkan peranan lebih aktif dan menyerlah di Sarawak melalui pelbagai penglibatan akademik serta kebudayaan.

Antara inisiatif yang dirancang termasuk kerjasama dengan Pustaka Negeri Sarawak serta pameran berpotensi melibatkan Muzium Etnografi Hungary dan Muzium Budaya Borneo pada tahun depan.

Sipos berkata Hungary juga bercadang menyertai acara pelancongan dan kebudayaan utama di Sarawak, termasuk Festival Jazz pada Disember ini dan Festival Hutan Hujan Sedunia (RWMF) tahun depan, dengan membawa persembahan muzik dan tarian rakyat Hungary ke Kuching.

Menyentuh isu global, Sipos berkata Hungary bersedia bekerjasama dengan Sarawak dalam menangani cabaran perubahan iklim serta inisiatif hijau.

“Perubahan iklim adalah cabaran rentas sempadan dan setiap negara perlu memainkan peranan. Hungary bersedia berkongsi penyelesaian serta inovasi bersama Sarawak,” tambahnya.

Beliau menambah, hubungan sejarah antara Hungary dan Sarawak telah wujud sejak lebih satu abad lalu, dengan seorang penyelidik Hungary menjalankan kajian di rantau ini seawal abad ke-19, yang menyumbang kepada koleksi yang kini disimpan di Muzium Etnografi Hungary.

Sipos berkata kehadiran komuniti Hungary yang semakin berkembang di Kuching, termasuk keluarga dan perniagaan, mencerminkan hubungan yang semakin kukuh dan dijangka terus diperkasakan menerusi pertukaran pendidikan dan budaya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU