KUCHING: Sarawak dan Itali terus memperkukuh kerjasama dalam sektor tenaga hijau, khususnya pengeluaran hidrogen hijau dan pembangunan tenaga boleh diperbaharui, selaras aspirasi Sarawak sebagai hab tenaga bersih di rantau Asia Tenggara.
Sehubungan itu, kunjungan hormat Duta Besar Itali ke Malaysia, H.E. Raffaele Langella kepada Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi memperkasa lagi hubungan diplomatik yang sedia terjalin antara Itali dan Sarawak.
Dalam kunjungan yang berlangsung di kediaman rasmi, Kasuma Resort, Petra Jaya itu, Tun Wan Junaidi dan H.E. Raffaele Langella bertukar pandangan mengenai pelbagai bidang berkepentingan bersama.
Bidang tersebut merangkumi sektor tenaga hijau, perdagangan, pendidikan tinggi serta pemuliharaan biodiversiti dan isu alam sekitar.
Tun Wan Junaidi berkata, Sarawak mempunyai potensi besar dalam pengeluaran hidrogen hijau dan pembangunan tenaga boleh diperbaharui.
“Ia sejajar dengan agenda pembangunan mampan negeri,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook hari ini.
Justeru, beliau dan Toh Puan Fauziah berharap kolaborasi antara Sarawak dan Itali akan terus diperkukuh ke tahap lebih tinggi bagi membuka lebih banyak peluang pembangunan serta manfaat bersama.
Sementara itu, H.E. Raffaele Langella turut menyatakan minat syarikat industri utama negaranya untuk terus menjadi rakan strategik Sarawak, khususnya dalam menyokong aspirasi negeri ini sebagai hab tenaga bersih di rantau Asia Tenggara.
Kunjungan yang berlangsung kira-kira satu jam itu turut bertujuan memperkenalkan diri sempena pelantikan rasmi beliau sebagai Duta Besar Itali ke Malaysia, selain membincangkan potensi kerjasama dalam pelbagai bidang lain.
Antara potensi kerjasama yang diketengahkan termasuk bidang kebudayaan dan pelancongan, termasuk usaha meningkatkan kehadiran pelancong Itali ke Sarawak, khususnya dalam segmen ekopelancongan dan warisan.
Hadir sama Pengarah Pejabat Wilayah Sarawak, Kementerian Luar Malaysia Sarawak, Datuk Fenny Nuli.



