ARTIKEL

Abang Johari merasmikan pembukaan Muzium Warisan Perindustrian Limbungan Brooke sambil disaksikan tetamu kehormat yang lain. | Foto: RAMIDI SUBARI

Sarawak Delta Geopark perkukuh pelancongan negeri

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Pengiktirafan Sarawak Delta Geopark oleh UNESCO bakal memperkukuh kedudukan negeri ini sebagai destinasi pelancongan berprofil tinggi di rantau ini.

Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata pengiktirafan tersebut sekali gus menambah satu lagi tarikan unik bagi meningkatkan kehadiran pelancong di negeri ini.

“Selain Perak dan Pulau Langkawi, Sarawak akan menjadi yang pertama menerima pengiktirafan ini di Borneo.

“Apabila kita menerima sijil pengiktirafan UNESCO, Sarawak menjadi lebih ‘premium’, seterusnya menjadi satu lagi tarikan untuk menarik pelancong,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Muzium Warisan Perindustrian Limbungan Brooke (BDY) di sini, pada Isnin.

Menurutnya, Sarawak kini mempunyai empat pengiktirafan daripada UNESCO apabila Sarawak Delta Geopark turut diiktiraf dalam masa terdekat.

Ini termasuk Tapak Warisan Dunia UNESCO Taman Negara Mulu dan Taman Negara Niah serta Kuching Bandar Gastronomi Kreatif UNESCO.

“Jadi, sekarang kita sudah mempunyai empat pengiktirafan daripada UNESCO melibatkan tapak warisan dan makanan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau merasmikan satu lagi bangunan ikonik di sekitar bandar Kuching iaitu Muzium Warisan Perindustrian BDY.

Menyentuh mengenai pembinaan muzium berkenaan, beliau berkata bangunan tersebut dibangunkan semirip mungkin dengan yang asal.
Sehubungan itu, Kerajaan Sarawak bercadang untuk membina tebingan sungai sepanjang 4.8 kilometer bagi menghubungkan muzium BDY dengan Jambatan Satok.

“Fasa pertama dijangka bermula tahun hadapan dengan peruntukan berjumlah RM160 juta, diikuti fasa kedua dengan anggaran RM400 juta.

“Binaan itu akan menggunakan reka bentuk khas secara bertingkat supaya tidak mengganggu rumah penduduk bagi memudahkan pelancong untuk bergerak,” jelasnya.

Abang Johari menambah bahawa pembangunan semula dua elemen ikonik iaitu Jambatan Satok dan muzium limbungan tersebut mencerminkan sejarah Sarawak.

“Kita mempunyai elemen penting dan bersejarah yang ingin dikongsi dengan para pelancong,” katanya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU