KUCHING: Peranan wanita Buddha dalam mengharungi cabaran dunia moden terus diperkukuh menerusi Persidangan Antarabangsa Wanita Buddha Sakyadhita ke-19 2025, yang memperkasakan suara mereka dalam komuniti global.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr. Sim Hui Kian berkata, kehadiran lebih 400 peserta dari 35 negara bagi persidangan selama lima hari bermula 16 hingga 20 Jun menjadi bukti komitmen global terhadap pemerkasaan wanita dalam agama Buddha.
“Ia selaras dengan tema persidangan, Mengemudi Perubahan: Wanita Buddha dalam Arus Peralihan, yang menekankan cabaran dan peluang yang dihadapi wanita masa kini apabila mereka menyesuaikan diri dengan perubahan dari sudut peribadi, sosial serta kerohanian dalam dunia yang pesat berubah.
“Ini termasuk cabaran berkaitan perubahan institusi dan generasi, kemajuan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), perubahan iklim, serta peningkatan konflik global.
“Dalam menghadapi semua perubahan ini, wanita Buddha terus menunjukkan ketabahan, semangat kesaksamaan, serta belas kasihan yang menjadi teras kepada ajaran Dharma. Nilai ini bukan sahaja terhad kepada wanita Buddha, malah mencerminkan realiti yang turut dihadapi oleh penganut agama lain,” katanya ketika berucap dalam Majlis Perasmian Persidangan Antarabangsa Wanita Buddha Sakyadhita ke-19 2025, di Hotel Waterfront, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Dr. Sim menjelaskan bahawa pemilihan Kuching sebagai tuan rumah bagi edisi ke-19 mencerminkan pengiktirafan antarabangsa terhadap Sarawak sebagai sebuah destinasi yang bersih, harmoni dan kaya dengan kepelbagaian budaya.
“Ini merupakan kali kedua Malaysia diberi penghormatan sebagai tuan rumah selepas edisi 2006 yang berlangsung di Kuala Lumpur,” tambahnya.
Menurutnya lagi, persidangan ini menghimpunkan sebuah komuniti yang pelbagai dan menginspirasikan, dengan pengisian seperti ucaptama, pembentangan akademik, bengkel, ceramah Dharma serta persembahan budaya yang berbeza, membolehkan peserta mengalami satu perjalanan ilmu dan kerohanian yang bukan sahaja kaya, tetapi juga mampu mengubah perspektif.
“Semoga ilmu yang dikongsi, persahabatan yang terjalin dan jaringan antarabangsa yang dibentuk sepanjang persidangan ini memberi impak positif ke arah mewujudkan dunia yang lebih adil, aman dan penuh belas kasihan,” ujarnya.




