ARTIKEL

Sarawak di mata anak Sabah

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

“ Belajar di Sarawak? Jauh itu.

Bolehkah hidup di tempat orang?” Itulah antara persoalan yang sering saya dengar ketika menerima tawaran untuk melanjutkan pengajian di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

Sebagai anak jati Sabah, keputusan untuk merantau ke negeri orang bukanlah sesuatu yang mudah.

Saya terpaksa meninggalkan keluarga, rakanrakan dan suasana kehidupan yang sudah sebati dengan diri saya.

Lebihlebih lagi, pengetahuan saya tentang Sarawak ketika itu hanya diperoleh melalui buku teks, media sosial dan cerita daripada orang lain. Gambaran yang sering dipaparkan pula hanyalah mengenai hutan, rumah panjang dan sungai yang luas.

Pada mulanya, saya menyangka kehidupan di Sarawak tidak jauh berbeza daripada kehidupan di Sabah.

Namun, selepas hampir dua tahun menimba ilmu di Bumi Kenyalang, saya menyedari tanggapan tersebut tidak menggambarkan Sarawak yang sebenarnya. Sarawak jauh lebih indah, unik dan istimewa daripada apa-apa yang pernah saya bayangkan.

Pada hari pertama tiba di Kuching, saya ditemani oleh kakak dan dilanda perasaan gementar.

Perasaan saya bercampur-baur kerana bakal memulakan kehidupan sebagai pelajar di tempat yang asing.

Pada peringkat awal, saya agak sukar menyesuaikan diri kerana berada jauh dari kampung halaman.

Namun, layanan mesra daripada rakan-rakan dan warga UNIMAS sedikit demi sedikit menghilangkan rasa terasing itu.

Saya mula menyedari masyarakat Sarawak terkenal dengan sifat ramah dan mudah menerima orang luar.

Walaupun berasal dari Sabah, saya tidak pernah berasa dipinggirkan. Pengajian di UNIMAS membuka peluang kepada saya untuk mengenali kepelbagaian etnik di Sarawak.

Sebelum ini, saya hanya mengetahui beberapa kaum seperti Iban, Bidayuh dan Melanau, tetapi tidak pernah memahami budaya mereka secara lebih mendalam.

Kini, saya dapat mengetahui lebih banyak perkara tentang Sarawak melalui persahabatan dengan pelajar daripada pelbagai latar belakang.

Saya turut mempelajari beberapa perkataan dalam bahasa Iban dan Melanau serta mengenali makanan tradisional masyarakat berkenaan.

Selain itu, program pengajian Linguistik yang saya ikuti banyak memberikan pengetahuan tentang bahasa, budaya, adat dan tempat-tempat menarik di Sarawak.

Saya juga berpeluang mempelajari bahasa Melayu Sarawak menerusi kursus Dialek Melayu Sarawak di UNIMAS. Selain memperoleh ilmu di bilik kuliah, saya turut meraih pengalaman hidup melalui pengembaraan di sekitar Sarawak.

Bersama-sama rakan, saya berpeluang mengunjungi beberapa lokasi menarik seperti Gunung Serapi, Gunung Santubong dan Muzium Budaya Borneo. Setiap lokasi mempunyai keistimewaan tersendiri. Keindahan alam semula jadi dan suasana yang mendamaikan memberikan pengalaman yang sukar digambarkan dengan kata-kata.

Pengalaman itu membuatkan saya memahami sebab Sarawak menjadi antara destinasi pilihan pelancong. Selain itu, mencuba makanan tradisional Sarawak turut menjadi antara pengalaman yang menyeronokkan.

Sebelum datang ke negeri ini, saya hanya pernah mendengar tentang laksa Sarawak dan kek lapis Sarawak. Namun, selepas menetap di sini, saya berpeluang menikmati pelbagai hidangan tempatan seperti mi kolok, buah dabai dan kelupis.

Setiap hidangan memiliki cita rasa tersendiri yang mencerminkan kepelbagaian budaya masyarakat Sarawak. Sebagai anak Sabah, saya sering meneliti persamaan dan perbezaan antara kedua-dua negeri di Borneo ini.

Walaupun Sabah dan Sarawak mempunyai banyak persamaan dari segi kepelbagaian etnik serta keindahan alam semula jadi, setiap negeri tetap memiliki identiti yang tersendiri.

Sarawak mengajar saya bahawa setiap budaya mempunyai keunikan yang perlu dihargai dan bukannya dibandingkan.

Semakin lama menetap di negeri ini, semakin saya memahami kepelbagaian budaya merupakan antara unsur yang menjadikan Malaysia sebuah negara istimewa.

Pengalaman hidup berjauhan daripada keluarga turut banyak membentuk peribadi saya.

Pada peringkat awal, saya sering merindui masakan ibu, gelak tawa adik-beradik serta suasana kampung halaman di Sabah.

Namun, kehidupan di UNIMAS mengajar saya untuk menjadi lebih berdikari dan berani.

Saya belajar mengurus kewangan, membahagikan masa antara kuliah dengan tugasan serta menyelesaikan masalah tanpa terlalu bergantung pada keluarga.

Setiap pengalaman pahit dan manis yang dilalui menjadikan saya lebih matang.

Dalam pada itu, pengalaman tinggal di Sarawak mengajar saya agar tidak mudah mempercayai tanggapan yang dibentuk berdasarkan pandangan orang lain.

Masih terdapat segelintir masyarakat luar yang menganggap Sarawak hanyalah sebuah negeri yang terkenal dengan rumah panjang dan hutan.

“Tinggal di atas pokok, kan?” Itulah antara persepsi yang sering dilemparkan oleh orang luar terhadap Sarawak.

Hakikatnya, Sarawak jauh lebih luas daripada gambaran tersebut. Negeri ini kaya dengan kepelbagaian budaya, masyarakat yang mesra, makanan yang enak serta pelbagai tempat menarik.

Keistimewaan itu hanya dapat difahami selepas saya sendiri menetap dan menjalani kehidupan sebagai pelajar di negeri ini.

Kini, apabila rakan atau kenalan dari Sabah bertanya tentang pengalaman saya di UNIMAS, saya sentiasa menggalakkan mereka memilih Sarawak sebagai destinasi pelancongan dan pendidikan.

Saya mahu mereka mengenali Sarawak bukan berdasarkan stereotaip atau cerita orang lain, tetapi melalui pengalaman sendiri serta keunikan sebenar yang dimiliki oleh negeri ini.

Keputusan untuk melanjutkan pengajian di UNIMAS merupakan antara keputusan terbaik dalam hidup saya kerana memberikan peluang untuk mengenali Sarawak secara lebih mendalam.

Kini, saya yakin Bumi Kenyalang bukan sekadar destinasi untuk menimba ilmu, tetapi juga tempat yang membuka mata, mengubah perspektif dan meninggalkan kenangan bermakna dalam hidup saya.

BERITA LAIN

Larian pesisir pacu ekonomi setempat

PROGRAM Larian Pesisir (Coastal) Sadong Jaya 2026 yang diadakan baru-baru ini dilihat mempunyai keistimewaan tersendiri. Program itu bukan sahaja menjadi aktiviti riadah yang menggalakkan amalan

Sarawak menanti kehadiran MPL

SEDEKAD bukan tempoh yang singkat, apatah lagi bagi sebuah permainan mudah alih yang berjaya bertahan, berkembang dan membina komuniti peminat merentas generasi. Bagi saya, Mobile

BERITA TERBARU