KUCHING: Sarawak digesa melaksanakan larangan menyeluruh penggunaan dan penjualan produk vape bagi melindungi kesihatan serta masa depan generasi muda.
ADUN Bukit Assek, Chieng Jin Ek berkata, perkembangan semasa menunjukkan vape bukan lagi sekadar alternatif kepada rokok, sebaliknya menjadi pintu masuk kepada penyalahgunaan bahan terlarang dalam kalangan remaja.
“Keadaan itu semakin membimbangkan apabila data menunjukkan peningkatan ketara pelibatan golongan muda dalam aktiviti vape dan penyalahgunaan bahan terlarang di Sarawak.
“Berdasarkan Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2022, Sarawak mencatat kadar penggunaan vape tertinggi dalam kalangan remaja iaitu 20.3 peratus, melibatkan kira-kira 39,608 remaja berusia 13 hingga 17 tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Ucapan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak di Persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak, pada Rabu (13 Mei).
Tambah beliau, data Jabatan Pendidikan Sarawak turut menunjukkan lebih 1,000 pelajar sekolah dikenal pasti terlibat dengan aktiviti vape, sekali gus mencerminkan isu itu menular dalam persekitaran pendidikan.
“Kebimbangan ini turut disokong oleh peningkatan kes penyalahgunaan dadah di Sarawak apabila mencatat kenaikan 51.4 peratus pada suku pertama 2025, dengan majoriti kes melibatkan individu berusia 15 hingga 39 tahun.
“Antara faktor utama yang memburukkan keadaan ialah kandungan vape yang kini didakwa bercampur dengan bahan sintetik seperti dadah,” ujarnya.
Beliau turut merujuk beberapa negeri lain seperti Johor, Kelantan, Terengganu, Perlis, Kedah, Pahang dan Perak yang telah mengambil langkah lebih tegas melalui sekatan dan kawalan lesen.
“Ini menunjukkan tindakan di peringkat negeri boleh dilaksanakan dan wajar dipertimbangkan secara serius,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan Sarawak mengambil pendirian awal dengan melaksanakan larangan total vape bagi menghantar mesej jelas bahawa kesihatan dan masa depan generasi muda tidak boleh dikompromi.


