SIBU: Sarawak Eco Warriors akan menganjurkan program perunding belia dengan tema ‘Voices for Climate Action’ pada 8 Disember akan datang.
Ia terbuka kepada individu berusia 18 hingga 30 tahun.
Menurut satu kenyataan daripada pihak penganjur pada Selasa, acara tersebut akan berlangsung di Hotel Li Hua, Jalan Pahlawan, di sini.
Program ini mendapat sokongan daripada Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF).
Ia bertujuan memberi peluang kepada belia untuk menyuarakan pandangan dan mengambil tindakan terhadap isu-isu berkaitan perubahan iklim dan kelestarian alam sekitar.
“Sumbangan anda akan membantu membentuk komitmen Malaysia terhadap perlindungan dan pemeliharaan alam sekitar,” menurut kenyataan itu.
Belia yang berminat untuk turut serta dalam program ini boleh membuat pendaftaran melalui pautan berikut: https://docs.google.com/forms/d/e/1FAIpQLSfTcUGtZloB_kN32sn_SJltAMYNtvJwzCAV8PY8Ghbd416g-w/viewform.
Program ini merupakan satu platform yang penting bagi golongan muda untuk memberikan input mereka tentang masa depan alam sekitar dan berperanan dalam mencipta perubahan positif dalam masyarakat.






