KUCHING: Sarawak Energy Berhad (Sarawak Energy) menyarankan pengguna untuk mengamalkan penggunaan tenaga secara berhemah susulan cuaca panas dan kering akibat fenomena El Niño yang berterusan di rantau ini.
Sarawak Energy memaklumkan, suhu yang lebih tinggi lazimnya menyebabkan peningkatan penggunaan elektrik khususnya bagi tujuan penyejukan.
Justeru, pengurusan tenaga secara proaktif penting untuk membantu isi rumah mengawal penggunaan elektrik dan kos semasa tempoh permintaan tinggi.
Katanya, Sarawak terus menawarkan tarif elektrik paling kompetitif di Asia Tenggara sekali gus membolehkan pengguna menikmati bekalan tenaga yang boleh dipercayai dan berpatutan.
“Pada masa sama, penggunaan tenaga secara berhemah menyumbang kepada kecekapan keseluruhan sistem, melengkapi operasi semasa serta perancangan jangka panjang dalam memastikan bekalan elektrik yang stabil di seluruh negeri,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Tambahnya, penggunaan tenaga boleh dioptimumkan melalui beberapa langkah mudah, antaranya menetapkan suhu penghawa dingin sekitar 24 darjah Celsius sambil memastikan pintu dan tingkap ditutup serta menggunakan kipas atau pengudaraan semula jadi bagi mengurangkan kebergantungan kepada penghawa dingin.
Menurutnya, langkah itu juga termasuk mematikan lampu dan peralatan elektrik apabila tidak digunakan, menggunakan peralatan cekap tenaga seperti lampu diod pemancar cahaya (LED) serta menggunakan langsir atau bidai untuk mengurangkan kemasukan haba pada waktu paling panas juga dapat membantu mengurangkan penggunaan yang tidak perlu.
“Kecekapan jangka panjang boleh diperkukuh melalui amalan penggunaan tenaga secara berhemah seperti melaraskan penggunaan mengikut kehadiran dalam ruang, memantau penggunaan elektrik secara berkala serta menjadualkan penggunaan peralatan elektrik berkuasa tinggi di luar waktu puncak.
“Pengamalan secara kolektif oleh isi rumah dan tempat kerja juga akan menyumbang kepada pengurusan tenaga yang lebih berkesan di peringkat komuniti,” ujarnya.
Dalam pada itu, Sarawak Energy menerusi kenyataan sama memberitahu, pelanggan yang mempunyai meter pintar juga boleh memanfaatkan aplikasi mudah alih Sarawak Energy, SEB cares atau portal web bagi mengurus penggunaan tenaga dengan lebih baik.
Jelasnya, ciri Energy Insights yang tersedia di kedua-dua platform berkenaan juga membolehkan penggunaan elektrik dipantau mengikut jam, harian dan bulanan.
“Dengan peningkatan penggunaan peralatan elektrik ketika cuaca panas, aspek keselamatan elektrik juga amat penting.
Langkah seperti mengelakkan lebihan beban pada soket elektrik, memastikan pendawaian berada dalam keadaan selamat serta meletakkan peralatan seperti peti sejuk jauh daripada sumber haba dapat menyokong operasi yang selamat dan cekap.
“Sebarang pemasangan atau pembaikan elektrik hendaklah dilakukan oleh individu yang bertauliah serta menggunakan produk yang diperakui dan diluluskan,” tegasnya.
Sarawak Energy juga akan terus menyokong amalan tenaga mampan sambil menyediakan bekalan tenaga yang boleh dipercayai, berpatutan dan boleh diperbaharui.
Sebarang pertanyaan atau bantuan, pelanggan boleh menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan syarikat di talian 1300-88-3111, melalui e-mel di customercare@sarawakenergy.com, menerusi aplikasi mudah alih SEB cares atau portal web atau berinteraksi dengan ejen maya, CARINA.



