KUCHING: Sarawak Energy membuat laporan polis susulan satu komen di media sosial yang didapati mengandungi bahasa jelik serta berunsur ancaman terhadap syarikat berkenaan.
Menurut Sarawak Energy, komen berkenaan juga dilihat sebagai seruan kepada individu atau kumpulan untuk berkumpul di premis syarikat dan melakukan tindakan berpotensi ganas atau berbahaya dengan rujukan kepada bahan berbahaya.
Selain laporan polis, Sarawak Energy turut merujuk perkara berkenaan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan kes tersebut kini sedang dalam siasatan.
“Walaupun Sarawak Energy menghormati hak individu untuk menyuarakan pandangan dan mengemukakan kebimbangan secara sah, sebarang kenyataan yang berpotensi menjejaskan keselamatan awam akan dipandang serius.
“Keselamatan dan sekuriti kakitangan, pelanggan, pengunjung serta orang awam kekal menjadi keutamaan,” katanya menerusi hantaran di Facebook rasmi Sarawak Energy Cares, semalam.
Sarawak Energy menambah, pihaknya akan terus bekerjasama dengan pelanggan bagi menangani dan menyelesaikan kebimbangan berkaitan bil serta perkhidmatan elektrik mereka.
Menurut syarikat itu, langkah berkenaan termasuk memberikan penjelasan yang jelas dan bantuan berdasarkan semakan terhadap akaun individu.
“Sebagai sebahagian daripada usaha tersebut, kaunter khidmat pelanggan khas disediakan sepanjang September di Wisma SESCO, Kuching.
“Inisiatif itu turut diperluaskan ke Sibu, Bintulu dan Miri.
“Pelanggan dialu-alukan untuk berjumpa dengan pasukan khidmat pelanggan secara bersemuka bagi membolehkan akaun mereka disemak serta mendapatkan penjelasan yang jelas mengenai perkara berkaitan bil,” tegasnya.
Dalam pada itu, Sarawak Energy memberitahu bahawa orang ramai juga boleh menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan Sarawak Energy di talian 1300-88-3111.





