KUCHING: Sarawak Energy dengan kerjasama Sarawak Badan Amal Tenaga Isteri-Isteri (SABATI) menyumbang sebuah mesin hemodialisis kepada Hospital Miri bagi memperkukuh kapasiti hospital tersebut dalam memenuhi permintaan rawatan dialisis yang semakin meningkat di utara Sarawak.
Mesin berkenaan diserahkan pada 7 Februari lalu sebagai sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat Sarawak Energy menerusi fokus pelaburan komuniti dalam bidang pembangunan komuniti dan keusahawanan yang bertujuan meningkatkan akses kepada peralatan perubatan penting di kemudahan kesihatan awam di seluruh Sarawak.
Majlis penyerahan disempurnakan oleh Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin, manakala mesin tersebut diterima oleh Pengarah Hospital Miri, Dr Jack Wong Siew Yu.
Turut hadir ialah Naib Presiden Kanan Perkhidmatan Korporat Sarawak Energy, Siti Aisah Adenan serta Bendahari Kehormat SABATI, Datin Siti Shorgayah Ahmad Zaidin.
Menurut Siti Aisah, melalui sumbangan itu dan kerjasama pihaknya dengan SABATI, ia diharap dapat meringankan beban pesakit serta penyedia perkhidmatan kesihatan, di samping memastikan perkhidmatan penting terus dapat diakses oleh komuniti di Miri dan kawasan sekitarnya.
“Bagi pesakit yang menjalani dialisis, akses kepada rawatan bukan sekadar berkaitan peralatan perubatan, tetapi turut melibatkan kesinambungan rawatan dan kualiti hidup,” katanya.
Sumbangan kepada Hospital Miri itu merupakan sebahagian daripada peruntukan RM225,000 oleh Sarawak Energy kepada SABATI bagi perolehan mesin hemodialisis untuk hospital-hospital di seluruh negeri.
Selepas sumbangan kepada Hospital Lundu pada 2025, beberapa mesin tambahan dijadualkan untuk dihantar ke hospital di Mukah, Bintulu dan Sarikei pada tahun ini.
Sarawak Energy dan SABATI memulakan kerjasama dalam bidang kesihatan pada Jun 2020 dengan menyumbang mesin hemodialisis kepada Hospital Kapit dan Hospital Lawas.
Sejak itu, Sarawak Energy menyokong kemudahan perubatan di seluruh Sarawak melalui sumbangan termasuk mesin dialisis, mesin ECG, ambulans dan peralatan fundoskopi, selain pembiayaan pembedahan katarak di Kapit, Mukah-Balingian, Sungai Asap Belaga, Murum dan Sri Aman.





