ARTIKEL

Sarawak Energy sedia semak bil elektrik yang didakwa meningkat mendadak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Sarawak Energy Berhad bersedia menyemak bil elektrik yang didakwa meningkat secara mendadak, termasuk jumlah bayaran yang luar biasa tinggi, bagi memastikan sebarang isu berkaitan pengebilan atau bacaan meter dapat dikenal pasti dan ditangani sewajarnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat SESCO Berhad, Yusri Safri berkata, pelanggan yang mempunyai kebimbangan mengenai jumlah bil boleh mendapatkan penjelasan atau memohon semakan melalui mekanisme aduan yang disediakan Sarawak Energy.

Beliau berkata, setiap kes akan dinilai secara individu berdasarkan keadaan dan maklumat berkaitan, termasuk sejarah akaun, rekod pengebilan serta maklumat meter yang tersedia.

“Semakan akan dibuat bagi menentukan bagaimana jumlah bil berkenaan diperoleh, manakala maklumat serta hasil penemuan berkaitan akan diterangkan kepada pelanggan yang memohon penjelasan,” katanya dalam satu kenyataan.

Yusri berkata, terdapat beberapa faktor yang boleh menyebabkan bil elektrik pelanggan meningkat berbanding kebiasaan, antaranya tunggakan terkumpul akibat kegagalan membuat bayaran atau pembayaran tidak teratur dalam tempoh panjang.

Menurutnya, faktor lain termasuk tempoh pengebilan berdasarkan anggaran yang berlarutan serta gangguan atau ketidakaturan pada meter.

“Bil yang lebih tinggi mungkin berlaku apabila bacaan sebenar diperoleh selepas satu tempoh pengebilan anggaran, menyebabkan penggunaan yang sebelum ini kurang direkodkan kemudiannya dicerminkan dalam bil berikutnya.

“Pada masa sama, Sarawak Energy mengakui mungkin terdapat keadaan membabitkan percanggahan bacaan meter atau pengebilan.

“Sebarang isu yang dikenal pasti ketika semakan akan disiasat dan ditangani sewajarnya,” katanya.

Beliau berkata, pelanggan yang ingin mendapatkan semakan lanjut terhadap jumlah yang dikenakan boleh mengemukakan rayuan berserta bukti sokongan untuk pertimbangan Sarawak Energy.
“Setiap rayuan akan dipertimbangkan berdasarkan keadaan kes individu dan keputusan akan dimaklumkan dengan sewajarnya kepada pelanggan,” ujarnya.

Menurut Yusri lagi, pelanggan yang masih mempunyai jumlah tertunggak untuk dibayar selepas proses semakan atau rayuan juga boleh ditawarkan aturan bayaran secara ansuran sekiranya mereka menghadapi kesukaran menjelaskan jumlah berkenaan.

Katanya, kemudahan itu bertujuan membantu mengurangkan beban kewangan segera pelanggan.

Pelanggan yang mempunyai pertanyaan atau aduan berkaitan bil boleh menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan Sarawak Energy di talian 1300-88-3111, melalui e-mel customercare@sarawakenergy.com, aplikasi mudah alih SEB cares atau berbual dengan ejen maya Carina.

Pelanggan juga boleh mendapatkan perkhidmatan secara bersemuka di kaunter perkhidmatan pelanggan Sarawak Energy berhampiran.

Dalam perkembangan berkaitan, Sarawak Energy baru-baru ini membuka kaunter khas di Wisma SESCO dari 2 hingga 4 September lalu bagi membantu pelanggan mendapatkan penjelasan berhubung kebimbangan mengenai bil elektrik.

Syarikat itu turut merancang mengadakan sesi libat urus sama di lokasi lain di seluruh Sarawak bagi membolehkan pelanggan mendapatkan bantuan secara terus.

Sarawak Energy berkata, pihaknya menghargai semua maklum balas yang diterima dan akan terus berhubung dengan pelanggan bagi memastikan setiap kes yang dikemukakan dapat disemak serta ditangani dengan sewajarnya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU