
KUCHING: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) bakal menganjurkan Sarawak FAMA Fest (SAFF) 2023 pada 23 hingga 26 Februari bertempat di Bintang Megamall Miri.
Timbalan Pengarah Operasi FAMA Sarawak Ramli Mat Sani berkata, lebih kurang 40 usahawan terdiri daripada usahawan tempatan dan semenanjung Malaysia yang sudah bersedia untuk memenuhi keperluan dan kehendak pasaran dalam dan luar negara.
“Program ini diadakan bertujuan untuk memasarkan serta mempromosikan produk-produk usahawan kita kepada pengguna, khususnya di kawasan sekitar Miri, Bintulu, Sibu malah sehingga ke Brunei Darussalam.
“Pada masa sama, kita juga ingin mempromosikan industri ini sebagai sektor perniagaan yang menguntungkan bagi menarik penglibatan para usahawan dalam kalangan generasi muda,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan sidang media SAFF 2023 di Pejabat FAMA Negeri Sarawak, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut berhubung program yang diadakan selama empat hari itu, beliau memberitahu bahawa jualan yang diadakan akan dibahagikan kepada dua bahagian utama iaitu Jualan Terus Dari Ladang (JTDL) dan Industri Asas Tani (IAT).
“Menerusi program semasa FAMA iaitu JTDL, pengguna boleh mendapatkan produk yang dijual pada harga yang lebih murah berbanding di pasaran runcit,” katanya ringkas.
Sehubungan itu ujarnya, program tersebut juga bakal menyediakan pelbagai pengisian program menarik sepanjang ia berlangsung.




