KUCHING: Kerajaan Sarawak akan menghantar tiga anak tempatan untuk melanjutkan pengajian peringkat Doktor Falsafah (PhD) di University of Bristol, United Kingdom, sebagai langkah awal membangunkan bakat tempatan dalam bidang semikonduktor.
Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, inisiatif ini bertujuan menyokong pelaksanaan pelan hala tuju pembangunan industri semikonduktor Sarawak melalui pemerkasaan kepakaran penyelidikan bertaraf antarabangsa.
Beliau berkata, pada peringkat awal, tiga calon yang mempunyai pengalaman industri atau kelulusan peringkat sarjana akan dipilih dan mereka akan terikat dengan perkhidmatan Kerajaan Sarawak selepas tamat pengajian.
“Kita akan hantar lagi (mengikuti pengajian) kerana teknologi semikonduktor berkembang dengan sangat pantas dan usaha ini tidak boleh terhenti,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyaksikan majlis pertukaran dokumen Memorandum Persefahaman (MoU) antara SMD Semiconductor, Yayasan Sarawak dan University of Bristol, United Kingdom, di Grand Hall, Kompleks Satria Pertiwi, hari ini.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada University of Bristol atas kerjasama penyelidikan dalam teknologi baharu yang dimeterai menerusi memorandum persefahaman (MoU) bersama Sarawak Microelectronics Design (SMD) dan Yayasan Sarawak.
Abang Johari berkata, dasar Sarawak dalam pembangunan semikonduktor turut mendapat perhatian antarabangsa apabila beliau membentangkan ucaptama pada forum perniagaan di Indonesia semalam.
“Mereka kelihatan agak teruja dan kagum dengan dasar Sarawak berkaitan semikonduktor kerana ini merupakan sesuatu yang baharu.
“Malah, mereka menyatakan hasrat untuk bekerjasama dengan kita dalam mempromosikan teknologi baharu sebagai pemacu ekonomi,” katanya lagi.


