KUCHING: Sarawak dan Indonesia sedang meneroka peluang untuk mewujudkan kerjasama secara langsung bagi memerangi penularan penyakit berkaitan haiwan.
Ia termasuk membanteras penyakit seperti Kaki dan Mulut (FMD), Demam Babi Afrika (ASF), selesema burung atau Avian Influenza (AI) dan rabies.
Kerjasama tersebut diperkukuhkan dengan lawatan kerja Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak ke Indonesia diketuai oleh menterinya Datuk Sri Stephen Rundi Utom bermula 3 hingga 9 Mei lalu.
Menurut kenyataan kementerian tersebut, usaha itu memandangkan wabak khususnya rabies, AI dan ASF telah menular di Sarawak dan di beberapa wilayah di Kalimantan serta Indonesia.
“Sesi perjumpaan ini telah memberikan peluang kepada kedua-dua pihak untuk bertukar maklumat berkenaan pengawalan penularan wabak haiwan ternakan.
“Dalam masa yang sama membincangkan kerjasama secara langsung mengenai pengurusan biosekuriti serta pembangunan sektor ternakan antara Sarawak dan Indonesia seperti pemindahan teknologi ternakan dan pemudah cara perdagangan yang tertakluk kepada risiko terkini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tambahnya, Kerajaan Indonesia juga telah menyatakan kesediaan untuk melanjutkan kerjasama dalam pembangunan sektor pertanian khususnya bagi subsektor ternakan bagi membantu Sarawak mencapai tahap sara diri keselamatan makanan yang lebih memuaskan.
Dalam lawatan tersebut, delegasi kementerian turut berkesempatan berkunjung ke Kementerian Pertanian Indonesia; Institut Pertanian Bogor (IPB Universiti Bogor);
Balai Embrio Ternak dan Balai Permanian Berhadas Lembu di Cipelang, Bogor; serta Syarikat Pengeluar Vaksin Ternakan, PT Medion Farma Jaya di Bandung.
Sebagai rumusan, lawatan kerja selama lima hari tersebut telah mencapai matlamatnya dan dalam masa sama memperkukuhkan kerjasama dalam pembangunan sektor ternakan di Sarawak khususnya dalam meningkatkan kompetensi tenaga kerja, kawalan biosekuriti dan pemindahan teknologi ternakan.





