KUCHING: Sarawak menjana RM10.22 bilion dalam hasil pelancongan dari Januari hingga Oktober tahun ini, dengan purata lebih RM1 bilion sebulan.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata ia sekali gus menjadikan sektor pelancongan terus menyumbang secara signifikan kepada ekonomi Sarawak.
“Peningkatan jumlah pengunjung telah memberi kesan limpahan kepada ekonomi tempatan, khususnya dalam sektor perhotelan dan komuniti setempat,” katanya dalam ucapan penggulungan kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.
Menjelas lanjut, beliau berkata acara dan festival utama merupakan pemacu penting kepada pertumbuhan pelancongan Sarawak, berfungsi sebagai mekanisme yang menyuntik nilai ekonomi, sosial dan budaya kepada komuniti tuan rumah.
Selain itu, katanya acara sukan, persembahan budaya, konsert muzik dan festival makanan memastikan aliran berterusan pengunjung domestik dan antarabangsa ke Sarawak.
Sehubungan itu, Karim berkata bagi tahun ini, kementeriannya telah menyokong lebih 351 acara dan festival, antaranya Regata Perahu Naga Antarabangsa Sarawak ke-11 yang berlangsung dari 24 hingga 26 Oktober lalu dengan penyertaan dari 22 negara, jumlah penyertaan tertinggi setakat ini.
Beliau menambah satu lagi acara besar yang berjaya dianjurkan ialah Festival & Anugerah Filem Antarabangsa ASEAN ke-7 (AIFFA) yang berlangsung dari 12 hingga 15 November lalu, dengan lebih 300 delegasi dari negara-negara ASEAN hadir di bandar raya Kuching termasuk selebriti antarabangsa Simon Yam, pelakon lagenda Hong Kong yang menarik perhatian besar masyarakat tempatan dan tular di media sosial.
Pada masa sama, Karim berkata kementeriannya turut menyokong pelbagai acara dan festival, termasuk Samarahan Bike Challenge pada 22 Jun; Pesta Babulang dan Lumba Kerbau, Limbang dari 4 hingga 6 Julai; Festival Kebudayaan Borneo, Sibu dari 3 hingga 12 Julai serta Karnival Berbasikal Layar Edisi Ke-7, Betong dari 29 Ogos hingga 1 September.
Selain itu, katanya Kejohanan Boling Tenpin Terbuka Antarabangsa Sarawak, Kuching dari 8 hingga 13 September; Festival Layang-Layang Antarabangsa Borneo ke-18, Bintulu dari 17 hingga 21 September; Pesta Benak, Sri Aman dari 19 hingga 21 September serta MATTA Pickleball Grand Slam, Kuching dari 13 hingga 20 Oktober.
Beliau menambah ia termasuk Borneo Jazz Festival, Miri dari 31 Oktober hingga 2 November; Festival Makanan dan Kebudayaan Samarahan dari 20 hingga 29 November; Konsert A Night with Andmesh Kamaleng, Kuching pada 28 November dan Pesta Besaug Dalat dari 28 hingga 30 November.
Manakala, Karim berkata sebelum akhir tahun ini, Sarawak akan menganjurkan beberapa lagi acara dan festival seoerti Sibu International Bike Week ke-13 dari 5 hingga 7 Disember; Sarawak International Festival of Music and Arts (SIFMA) 6.0, Kuching dari 6 hingga 7 Disember; Regatta Lingga, Sri Aman dari 12 hingga 14 Disember.
Katanya ia termasuk Konsert Fenomena Samurai SEARCH dan XPDC Live in Kuching pada 13 Disember; Sarawak Kenyah Cultural Festival, Miri dari 17 hingga 20 Disember dan Sambutan Tahun Baru 2026, Kuching pada 31 Disember.



