Sarawak kaji keberkesanan vaksin Covid-19 dari China

KUCHING: Sarawak sedang mengkaji keberkesanan vaksin Covid-19 yang dihasilkan oleh China, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian.

Menurutnya ia susulan keputusan kerajaan China baru-baru ini yang meluluskan penggunaan vaksin bersyarat secara besar-besaran bagi vaksin dihasilkan oleh syarikat farmaseutikal China.

Ketika ini, vaksin yang dihasilkan oleh China ialah Sinopharm dan yang terbaharu, Sinovac Biotech.

Bagaimanapun, Kui Hian berkata buat masa ini, Kerajaan Sarawak hanya akan menggunakan vaksin Pfizer seperti yang diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan.

“Jabatan kesihatan juga telah bersetuju akan penggunaan vaksin ini dan di Amerika Syarikat (AS), mereka telah menggunakannya sejak November lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang video bersama Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu, Clarence Ting hari ini.

Kui Hian menambah vaksin Pfizer adalah vaksin yang pertama dan satu-satunya vaksin yang dipersetujui kerajaan ketika ini.

Pada masa sama, beliau berkata Kerajaan Persekutuan juga akan berusaha mendapatkan vaksin Moderna yang dikeluarkan oleh syarikat yang berpangkalan di AS, ModernaTX, Inc.

“Kira-kira 2 juta orang yang memenuhi syarat akan divaksin. Dalam masa yang sama, vaksinasi ini percuma dan kos ditanggung oleh Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Kui Hian juga berkata Kerajaan Persekutuan dan hospital swasta kini sedang dalam perbincangan mengenai pengedaran vaksin Covid-19 di hospital dan klinik swasta.

“Ini kerana kami ingin orang ramai diberi vaksin, hospital swasta masih berbincang mengenai bayaran dan gaji barisan hadapan mereka.

“Tetapi satu perkara yang pasti ialah sama ada hospital kerajaan atau swasta, vaksinasi adalah percuma,” katanya.

Suara Sarawak