MUKAH: Budaya masyarakat Melanau adalah sebahagian daripada warisan besar di Sarawak yang kaya dengan keunikkan tersendiri.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, disebabkan itu Sarawak diberi pengiktirafan oleh pemimpin di peringkat Persekutuan sebagai lambang perpaduan di Malaysia.

“Jika hendak melihat negeri yang kaya dengan budaya, hidup aman sentosa serta saling berkongsi hidup lihatlah di Sarawak. Kita menjadi model perpaduan sehingga Perdana Menteri dari dahulu sehingga kini juga memberikan pengiktirafan kepada Sarawak.
“Malah, minggu Perpaduan Negara juga akan dilancarkan di Sarawak oleh Kerajaan Persekutuan tidak lama lagi,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Kaul Mukah 2023 di Pantai Kala Dana di sini, hari ini.

Mengulas lanjut kata Abang Johari, ia merupakan pengiktirafan yang sangat tinggi kepada Sarawak berikutan masyarakat di negeri ini sentiasa bersatu dan tiada perbezaan meskipun pegangan agama yang berlainan.
“Bak kata org cubit kanan kiri sakit, cubit kiri kanan sakit, inilah budaya kita dan kita perlu pertahankan budaya yang unik ini seperti tema Pesta Kaul Mukah 2023 iaitu budaya seuniknya. Sememangnya Sarawak merupakan negeri yang unik sekali,” katanya.
Abang Johari turut memberi bayangan bakal mengumumkan inisiatif baharu Kerajaan Sarawak melibatkan bidang ekonomi baharu dalam usaha meningkatkan sektor tersebut.
“Insya-Allah tunggu dalam masa sebulan atau dua bulan nanti dalam usaha kita membangunkan ekonomi ke tahap yang lebih tinggi, perkara ini akan mengubahkan pendekatan serta asas ekonomi negeri ini,” katanya.



