ARTIKEL

Abdul Karim bercakap pada sidang media di Kompleks DUN Sarawak, Kuching, hari ini. FOTO: RAMIDI SUBARI

Sarawak kecewa 17 kerusi DUN baharu belum dibentang di Parlimen

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

ZARINA ABDULLAH

KUCHING: Sarawak kecewa kerana cadangan penambahan 17 kerusi baharu Dewan Undangan Negeri (DUN) masih belum dibentang serta dipertimbangkan di Parlimen sehingga kini, kata Ketua Penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Menurutnya, perkara tersebut sepatutnya tidak lagi menjadi polemik kerana DUN Sarawak sudah meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) yang memperuntukkan pertambahan kepada sejumlah 99 kerusi tersebut pada Julai tahun lalu.

“Sarawak hanya mahu kelulusan diberikan kelulusan supaya 17 kerusi baharu itu dapat digunakan pada Pilihan Raya Negeri akan datang.

“Dari tahun lalu sehingga sekarang, sudah beberapa kali persidangan Parlimen berlangsung tetapi perkara ini masih belum diluluskan. Saya sedikit kecewa kerana suara Sarawak seolah-olah tidak dihargai di Parlimen.

“Apa yang perlu dilakukan di Parlimen hanyalah meluluskan perkara tersebut. Jika tidak diluluskan, itu bermakna mereka tidak menghormati suara majoriti rakyat Sarawak,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan berkata demikian pada sidang media penganjuran Breaking News Run 2.0 Night Edition, di Kompleks DUN Sarawak, di sini, hari ini.

Ujarnya, perkara dibawa oleh Sarawak hanyalah melibatkan pertambahan kerusi negeri dan bukannya kerusi Parlimen dan masih terdapat segelintir pihak yang gagal memahami tujuan sebenar penambahan kerusi tersebut dan terus memainkan sentimen politik.

“Kerusi Parlimen baharu perlu dibahaskan dan dibentangkan di Parlimen, bukannya di DUN negeri. Bahkan, jumlah kerusi masih sebanyak 31 dan tidak timbul soal pertambahan ketika ini.

“Malah, urusan berkaitan kerusi ini adalah bidang kuasa Dewan Rakyat serta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), bukannya DUN Sarawak. Mereka mula menyimpang daripada perkara asal,” tegasnya.

Tambahnya, proses persempadanan semula kawasan pilihan raya dibenarkan mengikut Perlembagaan Persekutuan setiap lapan tahun dan tempoh tersebut juga sudah melepasi had yang ditetapkan.

Dalam pada itu, beliau tidak melihat isu berkenaan akan menjadi ancaman besar kepada politik Sarawak.

“Sama ada Sarawak mempunyai 82 atau 99 kerusi DUN, Gabungan Parti Sarawak (GPS) tetap yakin mampu memperoleh kemenangan besar pada pilihan raya akan datang.

“Namun pertambahan kerusi tersebut penting bagi memastikan kawasan yang terlalu luas ketika ini dapat dipecahkan supaya kebajikan rakyat lebih terpelihara.

“Dengan adanya 17 kerusi baharu ini, kawasan yang terlalu besar sehingga menyamai keluasan negeri Pahang dapat dipecahkan dan lebih ramai wakil rakyat dapat memberi perhatian lebih dekat kepada rakyat tempatan,” katanya.

Sementara, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof pada Mac lalu memberitahu, cadangan penambahan 17 kerusi DUN Sarawak dijangka dibentangkan pada Parlimen sesi Julai depan.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU

Jalai Balingian–Sungai Anak patut diadu manah

KUCHING: Pengawa ngintu, ngadu sereta nangkir Jalai Perintah Besai Balingian–Sungai Anak ti nyambung rentayan Jalai Besai Pan Borneo begunaka perati dikena nambahka pengelikun enggau pejalai