KUCHING: Sarawak masih kekurangan pelajar yang meminati bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (Stem), kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.
Beliau berkata, penubuhan Kementerian Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi (MESTR) dijangka dapat menggalak dan merangsang peningkatan kualiti pelajaran dan pembelajaran.
Menurutnya, ia melibatkan pembangunan semula infrastruktur sekolah daif, penggunaan bahasa Inggeris dalam Sains dan Matematik, penubuhan sekolah antarabangsa serta pusat sains dan teknologi.
“Dalam perkembangan pembangunan pelajaran, latihan dan penyelidikan, Kerajaan Sarawak akur bahawa minat terhadap Stem amat kurang dalam kalangan pelajar,” katanya ketika berucap pada Majlis Konvokesyen Ke-22 PPKS/i-Cats di BCCK di sini, baru-baru ini.
Abang Johari menjelaskan, Kerajaan Sarawak turut merangka pelbagai inisiatif untuk memastikan negeri ini dapat merealisasikan ekonomi digital sebagai usaha menarik lebih ramai penglibatan masyarakat.
“Kita perlu menerokai ekonomi digital tanpa rasa gentar dan penuh semangat,” ujarnya. Menurutnya lagi, apabila tersedianya landasan ekonomi digital, Sarawak sudah pasti akan mencontohi negara maju seperti Jepun, Estonia dan Australia yang menggunakan digital dalam mentransformasikan ekonomi ke peringkat yang lebih tinggi dan berdaya saing.
Terdahulu Abang Johari berkata, Pusat pembangunan Kemahiran Sarawak (PPKS) bertanggungjawab sebagai salah sebuah institusi penggerak TVET dalam menyediakan modal insan yang berketerampilan tinggi dan berkualiti dalam bidang teknikal dan vokasional di negeri ini.
“Bukan itu sahaja, peranan dan kerjasama industri di Sarawak seharusnya turut selari peredaran dan hala tuju TVET kerana hubungan dalam kalangan industri dengan pusat latihan dan pendidikan bertauliah seperti PPKS dilihat dapat membantu dalam memperhalusi usaha ke arah memperkasakan bidang TVET ini,” jelasnya.
Hadir sama ialah Pengerusi PPKS Tan Seri Abdul Aziz Hussain, Pengarah Elsekutif PPKS Hallman Sabri dan Ketua Pegawai Eksekutif Kolej Antarabangsa Teknologi Lanjutan Sarawak (i-Cats) Mohd Isham Fauzi.



