KUCHING: Sarawak akan mengeluarkan satelitnya sendiri dalam tempoh 10 tahun akan datang sebagai sebahagian daripada peralihan kepada ekonomi baharu berteraskan aeroangkasa dan data.
Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Kolej Universiti i-CATS telah diarahkan untuk menubuhkan Fakulti Aeroangkasa bagi melahirkan tenaga mahir tempatan dalam bidang berteknologi tinggi itu.
Menurutnya, perkembangan teknologi semasa termasuk penggunaan nano satelit atau cubesat jauh lebih murah berbanding satelit konvensional membuka peluang lebih luas kepada Sarawak menceburi industri berkenaan.
“Kalau dahulu kos menghantar satelit mencecah sekitar 600 juta euro, kini teknologi baharu membolehkan ia dihasilkan dengan kos kira-kira 60 juta euro sahaja.
“Dengan teknologi ini juga, data di bumi boleh diperoleh melalui orbit rendah (low earth orbit), sekali gus menjadikan data sebagai aset penting dalam ekonomi masa depan,” katanya ketika berucap pada Konvensyen Gabungan Parti Sarawak (GPS) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) hari ini.
Beliau tegaskan penguasaan dalam industri aeroangkasa penting kerana banyak ekonomi baharu akan bergantung kepada data yang diperoleh melalui teknologi satelit.
Abang Johari turut menekankan kepentingan melindungi sumber bumi negeri, khususnya bahan nadir bumi (rare earth) yang mempunyai nilai tinggi dalam industri teknologi.
Katanya, Sarawak mengambil pendirian untuk tidak mengeksport bahan tersebut secara mentah, sebaliknya akan memprosesnya bagi menghasilkan produk bernilai tambah seperti magnet berprestasi tinggi yang digunakan dalam peralatan canggih.
“Rare earth ini menghasilkan magnet berkualiti tinggi dan digunakan dalam pelbagai teknologi moden. Sebab itu kita mesti urus sumber ini dengan baik,” ujarnya.
Beliau menambah, langkah tersebut selari dengan usaha Sarawak untuk memastikan pembangunan ekonomi yang mampan serta memberi manfaat jangka panjang kepada generasi akan datang.



