KUCHING: Sarawak kini berada di landasan kukuh sebagai sebuah wilayah yang bukan lagi sekadar kaya dengan sumber asli, sebaliknya sedang muncul sebagai wilayah kaya dengan peluang hasil kepimpinan berwibawa, dasar pembangunan jelas dan komitmen terhadap peralihan hijau.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pelaburan yang diluluskan sejak tahun 2021 mencecah RM104 bilion termasuk RM31.2 bilion dalam sembilan bulan pertama tahun ini, menunjukkan keyakinan tinggi pelabur global terhadap hala tuju ekonomi jangka panjang negeri ini.
“Pelaburan ini bukan sahaja mengukuhkan ekonomi Sarawak, malah membuka lebih banyak peluang pekerjaan dalam sektor bernilai tinggi seperti tenaga boleh diperbaharui, hidrogen, dan ekonomi digital,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika melancarkan Rancangan Malaysia ke-13 (2026–2030) sempena Persidangan Ekonomi Sarawak 2025, di sini hari ini.
Abang Johari menjelaskan, ekonomi Sarawak menunjukkan daya tahan dan pertumbuhan menggalakkan sejak pasca pandemik apabila mencatatkan pemulihan kukuh sebanyak 7.1 peratus pada 2022 berbanding penyusutan 6.7 peratus pada 2020.
“Sejak itu, Sarawak mengekalkan purata pertumbuhan stabil 3.9 peratus bagi tempoh 2022 hingga 2024 iaitu petunjuk kepada kestabilan ekonomi dan asas semakin pelbagai,” ujarnya.
Perkembangan positif itu menurutnya turut dipacu oleh pengurusan fiskal berhemah, kestabilan politik, dan hala tuju pembangunan jelas dan konsisten.
Beliau menambah, Sarawak turut menerima pengiktirafan antarabangsa apabila Bank Dunia mengklasifikasikan negeri ini sebagai wilayah berpendapatan tinggi sejak 2023, satu pencapaian yang menandakan kejayaan transformasi ekonomi yang inklusif dan mampan.
“Dari sudut kewangan, hasil negeri hampir berganda daripada RM7.6 bilion pada 2021 kepada RM14.2 bilion pada 2024, mencerminkan disiplin kewangan serta dasar ekonomi yang penuh kredibiliti,” jelasnya.
Tambahnya, Sarawak kini bersedia melangkah ke hadapan sebagai negeri masa depan yang bukan sahaja mampan, tetapi juga saksama dan inklusif untuk semua lapisan masyarakat.-TVS





