BINTULU: Kerajaan Sarawak terus komited menangani isu bekalan air bersih di kawasan luar bandar dan pedalaman negeri ini termasuk melalui kerjasama strategik bersama pihak swasta dan badan bukan kerajaan.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Kemajuan Wilayah, Datuk Seri Dr. Stephen Rundi Utom berkata, usaha menyediakan kemudahan air bersih merupakan keutamaan kerajaan kerana ia adalah keperluan asas yang masih belum dinikmati sepenuhnya oleh sebahagian penduduk di kawasan terbabit.

“Bekalan air bersih masih menjadi cabaran besar di Sarawak.
Ketika saya menjadi Menteri Utiliti dahulu, kita telah mengenal pasti bahawa sebanyak RM21 bilion diperlukan untuk meliputi keseluruhan negeri. Namun, hanya RM4.7 bilion dapat dibelanjakan setakat itu untuk menyelesaikan kawasan yang paling teruk terjejas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan dan Pelancaran Projek Bekalan Air Bersih di Kampung Yoh, Labang, Jalan Bintulu-Miri, pada Ahad.
Projek tersebut merupakan inisiatif bersama antara Malaysia LNG (MLNG), Yayasan Ikhlas dan Yayasan PETRONAS yang bertujuan membekalkan sumber air bersih kepada penduduk kampung yang sebelum ini bergantung kepada sistem alternatif seperti tadahan hujan dan sistem graviti.
“Saya amat menghargai inisiatif pihak MLNG, Yayasan Ikhlas dan Yayasan PETRONAS.
Ini adalah contoh kerjasama yang perlu diperluas ke lebih banyak kawasan luar bandar yang masih belum menikmati kemudahan air bersih,” ujarnya.
Menurut Dr. Stephen Rundi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemena, pelbagai kaedah telah digunakan untuk menyelesaikan masalah bekalan air termasuk sistem tadahan hujan, ‘gravity pit’ serta sistem agihan melalui syarikat seperti LAKU, namun semuanya mempunyai kekangan tersendiri terutama semasa musim kemarau.
“Ketika itu, kita juga melaksanakan pembinaan tangki air aras tinggi dari Loji Rawatan Air Nyabau sebagai sebahagian rancangan jangka panjang. Namun disebabkan faktor logistik dan koordinasi antara Kerajaan Persekutuan dan Negeri, pelaksanaannya mengambil masa,” katanya.
Beliau berkata, Sarawak kini mempunyai keupayaan kewangan yang lebih baik, justeru kerajaan negeri akan terus menggunakan dana sendiri bagi mempercepat pelaksanaan projek air bersih tanpa terlalu bergantung kepada Kerajaan Persekutuan.
“Setakat ini, liputan bekalan air bersih di Sarawak hanya mencapai 87 peratus, manakala selebihnya masih bergantung kepada sistem alternatif.
Kita berusaha menambah baik angka ini dengan memperuntukkan lebih banyak dana khusus untuk kawasan pedalaman,” jelas beliau.
Katanya lagi, memandangkan Sarawak merupakan negeri yang besar dengan kampung-kampung yang berselerak serta cabaran logistik, kos penyediaan prasarana adalah jauh lebih tinggi berbanding negeri-negeri lain.
Justeru, beliau menyeru lebih banyak pihak tampil menghulurkan kerjasama bagi memastikan setiap rakyat Sarawak, tidak kira lokasi, berpeluang menikmati air bersih yang selamat dan berterusan.





