KUCHING: Sarawak menumpukan usaha memperkukuh revolusi kecerdasan buatan (AI) dan peralihan hijau melalui pembangunan infrastruktur pintar, dasar digital beretika serta kerjasama strategik antara kerajaan, industri dan komuniti.
Pengerusi Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC), Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani berkata, Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak 2025 (IDECS25) membuktikan kekuatan ekosistem digital negeri melalui pelbagai inisiatif dan kerjasama baharu.
“Sepanjang dua hari ini, kita menyaksikan lebih 100 pembentang, termasuk tokoh antarabangsa, berkongsi pandangan tentang revolusi kecerdasan buatan (AI) dan peralihan hijau.
“Kedua-dua bidang itu saling berkait rapat dan menjadi asas penting dalam membina ekonomi serta komuniti masa depan yang mampan,” katanya semasa majlis penutupan IDECS 2025 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).
Menurutnya, IDECS tahun ini turut menyaksikan 22 memorandum persefahaman dan dua perjanjian dimeterai, menandakan keyakinan terhadap potensi ekonomi digital Sarawak.
Beliau juga memberitahu bahawa kemajuan teknologi perlu seiring dengan nilai kepercayaan dan tadbir urus yang jelas bagi menjamin keyakinan awam terhadap pembangunan digital negeri.
“Kekuatan AI mesti diseimbangkan dengan etika dan akauntabiliti.
“Tadbir urus bukan sekadar langkah perlindungan, tetapi asas kepada kepercayaan rakyat,” ujarnya.
Beliau berkata, pelancaran Sarawak Pass oleh Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) merupakan satu lagi langkah penting ke arah mencapai kerajaan digital sepenuhnya di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
Inisiatif itu, katanya, akan menaik taraf Sarawak ID dan memastikan setiap rakyat menjadi sebahagian daripada masa depan digital yang saling berhubung.
Menjelas lanjut, katanya, laluan masa depan Sarawak berpaksikan empat komitmen utama: penggunaan AI untuk menyelesaikan cabaran sebenar, membina dasar digital beretika, memastikan peluang terbuka kepada semua dan memperkukuh hubungan serantau dengan ASEAN serta dunia.
Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa IDECS 2026 akan tampil lebih besar dan berimpak tinggi dengan penyertaan lebih luas dari dalam dan luar negara, menjadikan Sarawak pusat tumpuan dialog serta inovasi digital serantau.
“IDECS kini bukan sekadar persidangan, tetapi satu jenama yang mencerminkan hala tuju baharu Sarawak dalam ekonomi digital dan hijau.
“Tahun hadapan, kita akan terus memperkukuh jenama ini sebagai simbol kemajuan, keterangkuman dan inovasi,” katanya.





