BINTULU: Kerajaan Sarawak memandang serius usaha untuk meneroka potensi pembangunan perubatan regeneratif sebagai salah satu strategi memperkasa sektor kesihatan di negeri ini.
Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata meskipun beliau bukan datang daripada bidang perubatan, tetapi beliau membaca dengan minat berhubung perkembangan pesat dalam perubatan regeneratif.
“Ada yang menyebut bidang perubatan ini menanam sel stem, ada pula yang berpendapat sebaliknya. Artikel yang saya baca mengatakan jika sesuatu sebatian serasi dengan tubuh, ia dapat memulihkan sel yang telah tua supaya kembali berfungsi.
“Biasanya apabila kita semakin berusia, sel turut menua. Jadi apa yang perlu ialah memulihkan semula sel tersebut,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran semula (ReLaunching) Hospital Kemena Pasifik di sini, hari ini.
Sehubungan itu, tambahnya, beliau juga telah mengarahkan sebuah pusat perubatan untuk membuat kajian mengenai perubatan regeneratif kerana Sarawak mempunyai sumber yang boleh diterokai.

“Dalam hal ini, tenaga profesional perubatan dan saintis boleh menganalisis sama ada terdapat sebatian dalam tumbuhan kita yang sesuai untuk bidang ini dan sebagainya.
“Kecerdasan buatan (AI) boleh digunakan untuk mengenal pasti padanan sel yang sesuai, sekali gus membantu tubuh untuk pulih dan berpotensi hidup lebih lama,” ujarnya.
Dalam pada itu, Abang Johari memberitahu, meskipun bidang ini masih baharu tetapi Sarawak berhasrat untuk menerokanya sebagai sebahagian daripada agenda penyelidikan kesihatan yang lebih luas.
“Ini juga seiring dengan pelaburan sebanyak RM300 juta untuk membangunkan pusat penyelidikan penyakit tropika di Samarahan yang dijangka siap menjelang 2028,” jelasnya.
Menjelas lanjut pada sidang media, Abang Johari memaklumkan, Sarawak juga bekerjasama dengan hospital di China untuk meneroka bidang perubatan regeneratif sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh sektor kesihatan negeri.
Katanya, bidang itu adalah ruang baharu dalam dunia perubatan dan wajar diberi perhatian.
“Kita tahu China memang maju dalam bidang ini. Justeru, Kerajaan Sarawak menerusi Timbalan Premier merangkap Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian juga bekerjasama dengan hospital di China untuk meneroka bidang perubatan tersebut,” katanya.





