Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pelaburan itu sebagai peluang untuk Sarawak meningkatkan infrastruktur sukan sedia ada bukan sahaja untuk persediaan SUKMA XXI bahkan untuk kegunaan selepas temasya itu selesai dilangsungkan.
Menurutnya, pembiayaan naik taraf tersebut telah disediakan bersama oleh Kerajaan Negeri dan Persekutuan.
“Untuk rekod, kerajaan negeri sendiri telah membelanjakan RM300 juta untuk tujuan ini.
“Sememangnya persiapan untuk penganjuran ini memerlukan perancangan rapi dari setiap sudut dan pastinya memerlukan sinergi yang kukuh dalam kalangan kementerian, jabatan, dan agensi sama ada di peringkat persekutuan dan negeri, serta penyertaan aktif daripada persatuan sukan negeri tuan rumah dan rakan strategik yang lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam SUKMA yang diadakan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada Rabu malam.
Justeru, beliau berharap SUKMA yang berkonsepkan ‘sukan untuk masyarakat’ menjadi contoh terbaik bahawa sukan sebagai medium untuk menyatupadukan rakyat.
“Penyertaan daripada semua lapisan masyarakat bukan sahaja mengeratkan hubungan silaturahim antara rakyat di negeri ini tetapi juga memupuk jalinan antara negeri dan wilayah dalam Persekutuan Malaysia.
“Selaras dengan tema tahun ini “Semangat perpaduan membara”, ia jelas menggambarkan sukan menjadi medium untuk menyatupadukan masyarakat yang pelbagai di negara ini,” katanya.
SUKMA edisi ke-21 menampilkan 37 sukan dan 488 acara membabitkan kira-kira 15,000 atlet dan pegawai dari semua negeri termasuk Negara Brunei Darussalam.
Sukan itu diadakan di 37 tempat pertandingan di sembilan bahagian, dengan 33 perkampungan sukan dan tempat penginapan disediakan untuk atlet dan pegawai sepanjang tempoh acara.



