KUCHING: Keunikan budaya dan kepelbagaian etnik di Sarawak membuka ruang untuk negeri ini menjadi rujukan utama dalam bidang terjemahan.
Ia bukan sahaja dari sudut akademik, malah sebagai usaha memelihara identiti dan warisan linguistik negara.
Naib Canselor Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Profesor Dr. Ahmad Hata Rasit berkata, penganjuran Persidangan Penterjemahan Antarabangsa ke-20 di negeri ini amat bertepatan.
“Dengan kepelbagaian bahasa, dialek dan pertuturan di Sarawak, ia menjadikan negeri ini lokasi paling tepat untuk penganjuran kali ini yang mengangkat tema ‘Pemeliharaan Warisan melalui Terjemahan’.
“Terjemahan merupakan jambatan ilmu, penghubung tamadun dan mekanisme pemeliharaan khazanah linguistik.
“Usaha ini bukan sekadar memindahkan makna, malah menghasilkan dapatan yang berkualiti dan bermakna,” katanya pada Persidangan Penterjemahan Antarabangsa ke-20 yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Mohammad Razi Sitam, mewakili Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, di sini.
Persidangan tiga hari tersebut merupakan anjuran UNIMAS selaku tuan rumah, dengan kerjasama
Persatuan Penterjemahan Malaysia (PPM), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM).
Persidangan tersebut menampilkan empat pembentangan kertas dasar, lima sesi pleno bersama-sama pakar penterjemahan budaya serta satu bengkel khas dan forum melibatkan Majlis Dekan-dekan Bahasa Universiti Awam, Persekutuan Orang Pekak Malaysia, Persatuan Jurubahasa Isyarat Malaysia dan Wikimedia Malaysia.
Turut diadakan ialah pembentangan sebanyak 64 kertas kerja merentasi lima sidang selari, dengan penyertaan lebih 250 peserta dari Malaysia, China, Singapura, Norway, Itali, Korea, Indonesia dan Brunei Darussalam.
“Kehadiran para pembentang dan peserta dari pelbagai negara dijangka menyumbang pelbagai sudut pandang yang memperkaya wacana dalam bidang terjemahan,” tambahnya.
Selain pengisian ilmiah, persidangan turut digerakkan dengan empat objektif utama yang menyokong matlamat penganjuran, antaranya memupuk pertukaran ilmu, gagasan dan pengalaman antara ilmuwan, ahli bahasa, penterjemah dan pelajar dari seluruh dunia dalam usaha meningkatkan kualiti terjemahan dan interpretasi.
Ia juga bertujuan merangsang wacana intelektual dan profesional berkaitan teori, teknik serta isu semasa dalam penterjemahan dan interpretasi serta memperkukuh latihan dan pembangunan profesional dalam bidang penterjemahan.



