KUCHING: Kerajaan Sarawak mahu melahirkan lebih ramai saintis bertaraf dunia atau Albert Einstein baharu dalam kalangan anak tempatan bagi meneroka potensi sumber asli negeri melalui sains, teknologi dan inovasi.
Albert Einstein yang lahir pada 1879 adalah seorang ahli fizik teori kelahiran Jerman yang dianggap sebagai saintis paling berpengaruh pada abad ke-20. Beliau terkenal dengan Teori Relativiti dan persamaan kesetaraan jisim-tenaga, E = mc² serta memenangi Hadiah Nobel Fizik pada 1921.
Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, penubuhan Pusat Sains Sarawak merupakan antara usaha strategik kerajaan dalam menyemai minat golongan muda terhadap sains dan membentuk generasi yang mampu mencipta penyelesaian kepada cabaran masa depan.
“Kita membangunkan pusat ini ini kerana mahu melahirkan Einstein dan saintis baharu, sama ada namanya Ahmad, Paul atau sesiapa sahaja anak Sarawak yang mampu membantu kita menghadapi cabaran dunia hari ini,” katanya pada Majlis Perasmian Pusat Sains Sarawak, di sini, hari ini.

Menurutnya, jurang terbesar yang masih perlu diatasi pada masa ini ialah kekurangan kepakaran saintifik yang mampu mengaplikasikan ilmu dan teknologi bagi memanfaatkan sumber semula jadi yang dimiliki negeri ini.
“Kita mempunyai sumber, tetapi dalam masa yang sama memerlukan lebih ramai saintis. Disebabkan itu kita mahukan anak Sarawak yang mahir dan dilengkapi dengan teknologi dan ilmu pengetahuan terkini.
“Pendekatan ini supaya mereka dapat menggunakan segala sumber yang kita miliki untuk membangunkan negeri ini,” ujarnya.
Tambahnya, usaha melahirkan lebih ramai saintis perlu bermula dengan membina kesedaran tentang kepentingan sains serta memupuk semangat ingin tahu dalam kalangan generasi muda.
“Sains bukan sekadar teori, tetapi proses memahami bagaimana sesuatu bahan mentah boleh ditukar menjadi produk yang memberi manfaat kepada manusia.
“Kita mahu anak-anak berani meneroka perkara baharu dalam bidang sains untuk menghasilkan inovasi. Disebabkan itu mereka perlu didorong melalui kreativiti, pemikiran kritis dan penguasaan ilmu sains,” jelasnya.



