Sarawak mahu penjelasan persekutuan mengenai levi pelepasan

SIBU: Kerajaan Persekutuan diminta untuk memberi penjelasan sama ada levi pelepasan akan dikenakan ke atas rakyat Sarawak yang terpaksa melalui Brunei untuk berulang-alik dari Miri ke Limbang dan Lawas menggunakan jalan darat.

Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, sekiranya mereka turut dikenakan levi yang akan dikuatkuasa 1 Sept nanti, ia pasti akan membebankan mereka.

“Sekiranya ini (pelaksanaan levi pelepasan) merangkumi mereka dari Miri ke Limbang dan Lawas atau sebaliknya, cuba bayangkan berapa banyak yang perlu dibayar,” katanya ketika berucap pada perasmian Matta Fair Sarawak di Dewan Suarah Sibu hari ini yang berlangsung selama tiga hari mulai 2 Ogos.

Berdasarkan arahan yang digazetkan Kerajaan Persekutuan pada 31 Julai lepas, Menteri Kewangan Lim Guan Eng menetapkan kadar levi pelepasan bergantung kepada destinasi luar negara, dan kelas penerbangan yang diambil.

Kadar bayaran levi bagi negara-negara ASEAN untuk mereka yang menggunakan penerbangan kelas ekonomi ialah RM8 manakala bukan kelas ekonomi RM50, manakala untuk bukan negara-negara ASEAN, bagi penerbangan menggunakan kelas ekonomi kadar dikenakan ialah RM20, dan bukan kelas ekonomi RM150.

Sementara itu beliau berkata, Sarawak sedang gigih berusaha untuk mencapai sasaran kedatangan pelancongan ke negeri ini seramai lima juta orang sepanjang tahun 2019 melalui kempen melawat Sarawak dan penganjuran pelbagai acara peringkat antarabangsa untuk menarik kehadiran pelancong seramai mungkin.

“Dalam bulan Ogos ini kita ada Kuching International Marathon yang dijangka menarik penyertaan 10,000 orang di mana 30 peratus adalah peserta dari Brunei, Indonesia, Hong Kong, Kenya dan Semenanjung Malaysia,” jelasnya.

Sehubungan itu beliau menggesa pemain-pemain industri pelancongan Sarawak supaya berusaha mengetengahkan idea-idea baru bagi menarik lebih ramai pelancong ke negeri ini dan kerajaan akan sedia memberi sokongan.

Katanya Sarawak memiliki banyak tarikan pelancong seperti alam semula jadi, rakyat pelbagai kaum dan budaya yang boleh ditawarkan kepada pelancong-pelancong disamping penganjuran acara-acara bertaraf antarabangsa.– BERNAMA