KOTA SAMARAHAN: Kerajaan Sarawak melihat potensi menjalinkan kerjasama dengan Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (SME) Malaysia bagi memperkukuh jaringan serta membuka lebih banyak peluang kepada usahawan muda di negeri ini.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Datuk Dr Ripin Lamat berkata, kerjasama itu berpotensi memberi manfaat menerusi perkongsian pengalaman, jaringan perniagaan dan peluang pasaran antara usahawan muda Sarawak dengan komuniti perusahaan kecil dan sederhana di seluruh negara.

Beliau berkata demikian susulan kunjungan rombongan SME Malaysia yang disertai wakil dari Johor, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur, Selangor dan Sabah ke Sarawak.
Menurutnya, rombongan berkenaan turut mengadakan perbincangan bersama pihak kementerian bagi meneliti perkembangan sektor perusahaan kecil dan sederhana serta potensi kerjasama dengan usahawan tempatan.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Youth Marketplace 2026 di perkarangan Dewan Suarah Kota Samarahan, di sini, hari ini.
Ripin berkata pihaknya turut melihat peluang menghubungkan usahawan Sarawak Youth Startup dengan jaringan perusahaan kecil dan sederhana bagi membolehkan mereka mendapat pendedahan lebih luas dalam aspek pengurusan, pemasaran dan pengembangan perniagaan.
Katanya, jaringan itu penting khususnya kepada usahawan pemula yang memerlukan sokongan dan pendedahan untuk membawa perusahaan mereka ke tahap lebih tinggi.
Dalam pada itu, Ripin berkata program Sarawak Youth Startup yang kini memasuki tahun ketiga akan dilaksanakan di Sibu pada awal Oktober ini bagi memberi tumpuan kepada usahawan muda di Zon Tengah.
Katanya, pelaksanaan program secara bergilir mengikut zon bertujuan memastikan peluang pembangunan keusahawanan dapat dinikmati belia di seluruh Sarawak.
“Program ini sebelum ini dilaksanakan di Kuching bagi Zon Selatan dan pada 2025 di Miri bagi Zon Utara.
“Tahun ini kita akan melaksanakannya di Zon Tengah, iaitu Sibu, supaya peluang dapat diberikan secara sama rata kepada belia dan usahawan di seluruh Sarawak,” ujarnya.
Tambahnya, kementerian turut mahu memperluas pembangunan usahawan muda ke seluruh negeri termasuk Samarahan, Serian, Kuching, Sri Aman, Limbang, Lawas, Miri, Bintulu, Mukah, Sarikei, Kapit dan Sibu.
Justeru, beliau menegaskan usaha memperkukuh jaringan perniagaan dan menyediakan platform pemasaran kepada usahawan muda selaras dengan aspirasi kerajaan negeri untuk meningkatkan pendapatan generasi muda serta memperkukuh kedudukan Sarawak sebagai negeri berpendapatan tinggi.


