ARTIKEL

MAZLI (empat kanan) menerima Sijil Kelulusan penubuhan polis bantuan bagi Sarawak Metro daripada Roselina di Kuching.

Sarawak Metro tubuhkan unit polis bantuan sendiri

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Sarawak Metro menubuhkan unit polis bantuan sendiri bagi memperkukuh keselamatan serta melindungi aset dan premis projek di sepanjang jajaran Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS).

Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Metro, Ts. Mazli Mustaffa berkata, penubuhan unit berkenaan merupakan satu lagi pencapaian penting dalam memastikan aspek keselamatan dan sekuriti operasi KUTS pada masa hadapan.

Menurutnya, unit polis bantuan itu akan memainkan peranan penting dalam melindungi aset dan premis KUTS, selain memperkukuh kawalan keselamatan di sepanjang jajaran projek berkenaan.

“Aspek keselamatan merupakan tunjang kepada perkhidmatan pengangkutan awam yang cekap dan dipercayai.

“Dengan adanya unit polis bantuan ini, kami dapat memperkukuh keselamatan di seluruh ekosistem KUTS, termasuk kemudahan operasi, depoh, stesen dan aset strategik, sekali gus mewujudkan persekitaran yang selamat untuk penumpang, kakitangan serta komuniti setempat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Penubuhan unit berkenaan dimuktamadkan baru-baru ini selepas Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyerahkan sijil kelulusan kepada Sarawak Metro bagi membolehkan syarikat itu menubuhkan unit polis bantuan sendiri.

Dalam satu majlis ringkas di pejabat korporat Sarawak Metro, sijil berkenaan diserahkan oleh Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Kontinjen PDRM Sarawak, SAC Roselina Daud kepada Mazli.

Mazli menambah, penyerahan sijil tersebut merupakan pencapaian penting dalam usaha membangunkan unit keselamatan yang tersusun, profesional dan berkesan bagi menyokong operasi KUTS.

“Penyerahan sijil ini merupakan satu pencapaian penting dalam membangunkan sebuah unit keselamatan yang tersusun, profesional dan berkesan, yang mampu menyokong operasi KUTS,” ujarnya.

Beliau berkata, kekuatan anggota dan keupayaan operasi unit polis bantuan berkenaan akan dibangunkan secara berperingkat selaras dengan pelaksanaan projek KUTS yang turut dilaksanakan secara berfasa.

Pada masa sama, Sarawak Metro akan terus bekerjasama dengan PDRM dalam aspek latihan, pematuhan serta pembangunan kompetensi bagi memastikan unit berkenaan mempunyai tahap kecekapan dan kesiapsiagaan yang tinggi.

“Kerjasama berterusan dengan PDRM dalam latihan, pematuhan dan pembangunan kompetensi amat penting bagi menjamin tahap keselamatan tertinggi untuk orang awam,” tegasnya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU