Sarawak negeri pertama

KUCHING: Sarawak menjadi negeri pertama menjalin kerjasama dengan Bank Rakyat dalam Program Integriti Kewangan (Pink) Masjid, kata Pemangku Pengarah Urusan Bank Rakyat Datuk Rosman Mohamed. Katanya, kerjasama diterjemah dalam perjanjian MoU adalah untuk meningkatkan ketelusan dan kecekapan dalam pengurusan kewangan di masjid dan surau.

“Kerajaan Sarawak melalui MIS menjalin kerjasama dengan kita dalam memantau akaun masjid dan surau yang berdaftar. “Maka, kita memilih lima masjid sebagai perintis iaitu Masjid Darul Ehsan Kampung Jawa Semenggok, Masjid Darul Hana Patinggan, Masjid Nurir Rahmani Kampung Santubong, Masjid Darul Ikhsan Kampung Buso dan Masjid Darul Hana Jalan Tun Salahuddin,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis menandatangani MoU terbabit di sini, semalam. MoU itu ditandatangani Ketua Pegawai Perbankan Runcit Bank Rakyat Dr Mohammad Hanisn dan Setiausaha MIS Khalidi Ibrahim sambil disaksikan oleh Rosman dan Yang Dipertua MIS Datuk Misnu Taha. Tambah Rosman, program tersebut akan menggalakkan visi 2025.

Bank Rakyat untuk memperkasakan akaun simpanan dan semasa.

“Malah, kita menyasarkan untuk mengadakan bengkel pengurusan kewangan kepada 500 masjid dan surau di Sarawak pada tahun depan.

“Ia melibatkan kos keseluruhan sebanyak RM9 juta apabila satu simulasi bengkel terbabit menelan belanja RM18,000,” jelasnya.

Terdahulu, dalam ucapannya, Rosman memberitahu, pengurusan kewangan merupakan aspek asas di masjid dan surau bagi menjana aktiviti pembangunan dan pengimarahan seperti yang dituntut oleh Islam.

“Pengurusan kewangan yang efisien dan telus akan menambah keyakinan masyarakat untuk terus menyumbang kepada masjid dan surau. “Oleh itu, jawatankuasa masjid dan surau yang dilantik membawa amanah daripada seluruh ahli qariah sama sekali tidak boleh menerima sebarang elemen ketirisan atau kecuaian dalam pengurusan wang,” ujarnya.

Menurutnya, menyedari kepentingan itu MIS menjalin kerjasama dengan Bank Rakyat bagi membolehkan wang sumbangan masjid dan surau diuruskan dan dipantau secara sistematik menerusi platform digital. “Bank Rakyat akan menyediakan platform digital melalui i-bizRAKYAT untuk memantau pergerakan akaun masjid yang berdaftar di MIS.

“Justeru, saya berharap agar inisiatif ini dapat memberi manfaat demi pembangunan ummah yang lestari dan berintegriti,” katanya.

Pada majlis itu, sebanyak RM24,000 disumbangkan oleh Bank Rakyat kepada MIS untuk program Pink Masjid di 14 kawasan di seluruh Sarawak.