Sarawak nikmati bekalan elektrik lebih murah

LIPUTAN bekalan elektrik 24 jam di Sarawak kini mencapai sekitar 92 peratus. Ini satu perkembangan yang sangat positif, sekali gus membuktikan kerajaan cukup prihatin dengan keperluan rakyat, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Situasi semasa itu juga bermakna masih berbaki lapan peratus atau 26,400 isi rumah di luar bandar belum mendapat bekalan elektrik 24 jam. Kerajaan optimis Sarawak mampu mencapai sasaran elektrifikasi penuh menjelang 2025 melalui Pelaksanaan Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) dan Pelaksanaan Skim Pembekalan Elektrik Alternatif Luar Bandar Sarawak (SARES).

SARES yang diperkenal Kerajaan Negeri merupakan salah satu platform terbaik untuk membantu penduduk luar bandar yang tinggal di luar talian grid elektrik menikmati kemudahan berkenaan.

Sejak 2016, SARES membantu penduduk rumah panjang serta kampung terpencil di negeri ini menikmati bekalan elektrik yang lebih murah dan selamat, sama ada menggunakan sistem solar atau mikro hidro.

Melalui pelaksanaannya, alternatif itu dapat meringankan beban penduduk luar bandar khususnya rumah panjang dan kampung terpencil yang terpaksa bergantung kepada janakuasa untuk mendapatkan bekalan elektrik.

Kerajaan juga menyedari hampir separuh penduduk di Sarawak tinggal di luar bandar yang berdepan cabaran geografi. Bagaimanapun kerajaan tetap komited melaksanakan tanggungjawabnya bagi memastikan rakyat luar bandar menikmati bekalan asas seperti mereka yang tinggal di bandar.

Bagi penduduk yang sudah menikmati kemudahan itu, inisiatif bijak kerajaan membebaskan mereka daripada menampung kos janakuasa yang mahal seperti sebelumnya.

Ini kerana pembiayaan kos untuk membeli bahan bakar yang terpaksa ditanggung amat membebankan mereka yang kebanyakannya petani dan nelayan. Sudah pasti kemudahan yang dilaksanakan oleh kerajaan itu membawa banyak perubahan, malah menyediakan landasan baharu kepada mereka untuk meniti arus pembangunan.

Penduduk bukan sahaja dapat menganjurkan program kemasyarakatan dan aktiviti rekreasi pada bila-bila masa tanpa perlu bimbang had penggunaan jana, tetapi juga dapat menyimpan barang makanan agar tahan lama.

Pemberian kerajaan itu amat besar maknanya kepada rakyat terutama generasi muda. Bekalan elektrik bukan sahaja menyenangkan urusan harian penduduk, tetapi juga memudahkan anak-anak muda menimba ilmu.

Dalam perkembangan berkaitan, sokongan padu masyarakat terhadap Kerajaan Sarawak amat penting bagi memastikan agenda pembangunan dapat dilaksanakan dengan lebih licin. Keharmonian sedia wujud dalam kalangan rakyat juga akan memudahkan kerajaan untuk menyempurnakan pelbagai perancangan dan program demi rakyat.

Usaha berterusan menyediakan kemudahan kepada rakyat juga membuktikan kerajaan mempunyai rekod perkhidmatan baik. Malah kita juga mempunyai pelbagai agenda untuk memastikan pembangunan dapat dilaksanakan.

Tidak dinafikan lonjakan pembangunan di Sarawak sekarang ini bertitik tolak daripada pendekatan dan kesungguhan Kerajaan Sarawak di bawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg. Usaha bersepadu itu bermatlamat mengharmonikan rakyat, di samping memastikan seluruh kawasan terutama luar bandar diberi kemudahan infrastruktur dan asas.