KUCHING: Sarawak mempunyai peranan penting dalam membantu Malaysia mencapai sasaran peningkatan produktiviti nasional berikutan negeri ini mencatatkan antara tahap produktiviti tertinggi di negara.
Timbalan Ketua Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Dr Mohamad Norjayadi Tamam berkata, pihaknya kini sedang membangunkan rangka kerja produktiviti nasional yang baharu, dengan pelibatan di peringkat negeri menjadi salah satu fokus ke arah mencapai pertumbuhan tahunan sebanyak 3.6 peratus serta menjadi antara 12 ekonomi paling berdaya saing di dunia.
“Sarawak mencatatkan antara tahap produktiviti tertinggi di Malaysia dan merupakan bahagian penting dalam mencapai sasaran-sasaran ini.
“Pengetahuan masyarakat dan kepelbagaian kemahiran yang dimiliki Sarawak menjadi asas penting dalam pembangunan bakat, yang merupakan antara pemacu utama produktiviti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Pelancaran dan Penyampaian Sijil Pengiktirafan Pendidikan Tidak Formal (IFE) Sarawak – Kemahiran dan Produktiviti Komuniti di Bangunan Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA), Jalan Isthmus, di sini, semalam.
Mengulas lanjut, beliau menambah melalui pengiktirafan IFE, keupayaan masyarakat dapat ditonjolkan dengan lebih jelas, diperkukuh dan dihubungkan dengan peluang ekonomi yang lebih luas.
Katanya, ia juga selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 Sarawak (PCDS) 2030 yang mengenal pasti pendidikan dan pembangunan modal insan sebagai antara pemangkin pembangunan.
“Saya memuji usaha Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD) dalam memacu IFE sebagai laluan untuk pembelajaran dan peningkatan kemahiran.
“Sarawak merupakan negeri pertama yang melaksanakan perkara ini dan saya yakin usaha ini memperkukuh aspirasi negeri untuk meningkatkan pembangunan kapasiti modal insan, di samping memelihara budaya dan warisan,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau juga menyeru majikan dan penyedia latihan supaya membantu penerima sijil IFE menggunakan kemahiran yang telah diiktiraf untuk dimanfaatkan dalam pekerjaan dan kehidupan.
Menurutnya, langkah seterusnya adalah menghubungkan pengiktirafan tersebut dengan sokongan praktikal, pembelajaran lanjut dan peluang pasaran.
“Ramai orang mempelajari sesuatu kemahiran di rumah, di tempat kerja atau daripada golongan yang lebih tua. Kemahiran ini membantu keluarga, menyokong perniagaan dan memastikan pengetahuan tempatan terus hidup.
“Namun, kemahiran yang diperoleh di luar bilik darjah mungkin sukar dibuktikan apabila seseorang mencari pekerjaan atau ingin melanjutkan pembelajaran. “IFE membantu menjadikan kemahiran ini lebih terserlah.
Melalui penilaian praktikal, ia mengiktiraf perkara yang diketahui dan mampu dilakukan oleh seseorang. Ia juga mengenal pasti bidang yang memerlukan sokongan lanjut bagi membantu mereka berkembang,” jelasnya.



