LONDON: Sarawak yang kaya dengan sumber tenaga bersih boleh diperbaharui mempelawa syarikat dari seluruh dunia untuk meneroka potensi pelaburan dalam bidang ekonomi baharu berteraskan teknologi hijau di negeri ini.
Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kelebihan Sarawak yang memiliki pelbagai sumber semula jadi harus dimanfaatkan dengan usaha menarik lebih banyak pelaburan kerana ia merupakan sumber tenaga penting pada masa hadapan.
“Kerajaan Sarawak amat mengalu-alukan kedatangan pelabur luar negara untuk bersama meneroka potensi pelaburan berteraskan teknologi hijau di negeri ini, ia termasuk memberi nilai tambah melalui penyelidikan dan pembangunan ke arah peralihan kepada tenaga bersih.
“Oleh itu, kami akan mengutamakan pelaburan yang memberi tumpuan kepada teknologi hijau bersih demi mewujudkan kemakmuran ekonomi, keterangkuman sosial dan kelestarian alam sekitar,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucaptama pada Majlis Perasmian Program Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (MINTRED) Connects@London 2023 di Hyatt Regency London – The Churchill, semalam.
Mengulas lanjut ujarnya, usaha ini sejajar dengan Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 (PCDS) 2030 yang menekankan dasar mempromosikan tenaga hijau bagi menjadikan Sarawak antara destinasi utama pilihan pelaburan asing.





