ARTIKEL

Sarawak percepat pengiktirafan NCR

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) ialah tanah yang diiktiraf berdasarkan hak adat masyarakat asal yang telah diusahakan dan diduduki secara turun-temurun serta dilindungi oleh undang-undang di Sarawak.

Hal ini sekali gus menjadi jaminan penting terhadap pemilikan, penggunaan serta kelangsungan sumber kehidupan masyarakat setempat.

Pengiktirafan terhadap tanah NCR juga penting dalam memastikan hak masyarakat asal terus terpelihara, khususnya daripada sebarang pencerobohan atau pertikaian yang boleh menjejaskan sumber rezeki dan kesejahteraan mereka.

Pada masa sama, pemilikan yang jelas dan sah membuka ruang kepada pembangunan yang lebih terancang, termasuk akses kepada bantuan kerajaan, kemudahan infrastruktur serta peluang untuk meningkatkan taraf sosioekonomi penduduk setempat.

Sehubungan itu, Kerajaan Sarawak telah memperuntukkan lebih RM40 juta bagi melaksanakan Program Penyukatan Tanah NCR sejak tahun 2010 sebagai usaha berterusan untuk menjamin pemilikan tanah yang sah serta terpelihara kepada rakyat di negeri ini.

Timbalan Premier, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, program berkenaan dilaksanakan menerusi pendekatan baharu secara dua peringkat, iaitu penyukatan secara perimeter sebagai fasa pertama dan penyukatan secara individu sebagai fasa kedua.

Menurutnya, pendekatan ini terbukti lebih berkesan dan sistematik dalam mempercepatkan proses pengiktirafan tanah adat berbanding kaedah terdahulu.

“Bagi mereka yang berminat untuk menyertai program ini, permohonan perlu dikemukakan kepada Jabatan Tanah dan Survei.

“Kemudian, setiap permohonan akan diselidiki sebelum kelulusan diberikan untuk penyukatan secara perimeter di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Warta Rizab Komunal Bumiputera (Pertanian) Seksyen 6 dan Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak di DUN Tellian, di sini baru-baru ini.

Dalam pada itu, Awang Tengah turut menyatakan bahawa sebanyak 1.2 juta hektar tanah NCR telah disukat secara perimeter setakat ini menerusi pelaksanaan Inisiatif Baharu Program Penyukatan Tanah NCR yang dilaksanakan oleh Kerajaan Sarawak sejak tahun 2010.

Tambahnya, daripada jumlah itu, lebih 900,000 hektar tanah telah diwartakan di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri  sebagai bukti pemilikan yang sah.

Bukan itu sahaja, katanya, kerajaan turut melaksanakan Program Penyukatan KampungKampung Tradisi yang melibatkan kampung lama yang masih belum mempunyai surat hak milik, dengan keistimewaan milikan kekal tanpa bayaran premium atau cukai tanah.

“Diharapkan ketua masyarakat dan jawatankuasa kampung memanfaatkan peluang ini bagi memastikan jaminan pemilikan tanah yang sah untuk generasi akan datang.

“Program ini juga akan diteruskan selagi masih diperlukan,” tambahnya.

Menurut seorang penerima geran NCR (Seksyen 18), Tuai Rumah George Takin, beliau amat bersyukur dan lega apabila menerimanya secara rasmi kerana hal itu merupakan pengiktirafan yang bermakna terhadap hak tanah yang telah diusahakan secara turun-temurun.

“Syukur, penantian yang lama akhirnya berbaloi kerana sepanjang proses permohonan, saya menempuh beberapa cabaran dari segi dokumentasi dan tempoh menunggu.

“Walaupun prosesnya agak panjang dan memerlukan kesabaran, kerjasama daripada pihak berkaitan juga banyak membantu memudahkan urusan,” katanya kepada Suara Sarawak.

Menjelaskan lanjut, katanya, tempoh menunggu geran NCR untuk diluluskan agak lama dan memakan masa beberapa tahun.

Bagaimanapun, beliau memahami bahawa proses tersebut mengambil masa yang lama dan bersyukur kerana usaha serta penantian selama ini membuahkan hasil.

Di samping itu, George berkongsi bahawa dengan adanya geran NCR ini, hak pemilikan tanah kini diiktiraf secara sah di sisi undangundang.

“Ia memberi jaminan dan perlindungan daripada sebarang pertikaian serta mengelakkan pencerobohan pada masa hadapan.

“Pemilikan geran NCR ini juga membantu meningkatkan keyakinan untuk mengusahakan tanah dengan lebih produktif.

“Ia ibarat ‘lesen’ untuk saya mengusahakan tanah dengan lebih terancang dan produktif kerana status tanah kini jelas serta terjamin,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau turut memberitahu bahawa geran ini memberikan jaminan masa depan yang lebih teratur untuk anak-anak dan keluarga.

Ini kerana geran tersebut boleh diwarisi dan menjadi aset penting yang mampu menyokong kehidupan serta ekonomi keluarga pada masa hadapan.

Beliau turut berharap agar pengurusan dan perlindungan tanah NCR akan terus diperkukuh supaya hak pemilik tanah sentiasa terpelihara dan tidak disalahgunakan oleh manamana pihak.

“Saya ingin berterima kasih kepada Kerajaan Sarawak atas usaha dan komitmen membantu rakyat mendapatkan geran NCR.

“Diharapkan proses ini dapat dipermudah dan dipercepatkan pada masa akan datang demi kesejahteraan rakyat,” tambahnya.

BERITA LAIN

Larian pesisir pacu ekonomi setempat

PROGRAM Larian Pesisir (Coastal) Sadong Jaya 2026 yang diadakan baru-baru ini dilihat mempunyai keistimewaan tersendiri. Program itu bukan sahaja menjadi aktiviti riadah yang menggalakkan amalan

Sarawak menanti kehadiran MPL

SEDEKAD bukan tempoh yang singkat, apatah lagi bagi sebuah permainan mudah alih yang berjaya bertahan, berkembang dan membina komuniti peminat merentas generasi. Bagi saya, Mobile

BERITA TERBARU