KOTA SAMARAHAN: Sarawak mahu melahirkan generasi yang bukan sekadar menguasai teknologi, tetapi mampu mencipta, berinovasi dan menghasilkan harta intelek sendiri bagi menyokong pertumbuhan sektor strategik negeri.
Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pembangunan bakat tempatan perlu diberi keutamaan seiring usaha Sarawak memperkukuh sektor berteknologi tinggi termasuk semikonduktor, kecerdasan buatan (AI), aeroangkasa dan teknologi satelit.

“Kita tidak boleh selama-lamanya menjadi pengguna teknologi.
Kita mesti membangunkan keupayaan untuk mencipta, berinovasi dan menghasilkan harta intelek sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang disampaikan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn pada Majlis Malam Akhir dan Penyampaian Hadiah Premier of Sarawak Debate Challenge Cup (PSDC) 2026 di Dewan Jubli, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak, di sini malam tadi.
Abang Johari berkata, pengukuhan bakat tempatan penting bagi memastikan anak Sarawak bukan sahaja mendapat peluang pekerjaan dalam industri berteknologi tinggi, malah mampu menguasai bidang berkenaan dan membangunkan penyelesaian sendiri.

Menurutnya, semikonduktor antara bidang yang mempunyai prospek besar memandangkan teknologi berkenaan menjadi asas kepada pelbagai aplikasi moden.
Katanya, perkembangan industri semikonduktor turut membuka peluang dalam bidang berkemahiran tinggi seperti kejuruteraan, penyelidikan, reka bentuk cip, teknikal dan pembangunan teknologi.
Dalam bidang aeroangkasa dan teknologi angkasa pula katanya, penggunaan teknologi satelit berpotensi menyokong telekomunikasi, pemantauan alam sekitar, pengurusan bencana, pemetaan dan pembangunan pertanian.
Beliau berkata, perkembangan teknologi kini semakin menghubungkan pelbagai bidang, sekali gus memerlukan generasi muda mempunyai keupayaan menggabungkan pengetahuan daripada pelbagai disiplin.
Justeru katanya, generasi muda jangan mengehadkan pengetahuan kepada satu bidang sahaja, sebaliknya membina keupayaan menghubungkan pelbagai disiplin bagi menghasilkan penyelesaian yang lebih kreatif dan berkesan.
Sehubungan itu, beliau menyeru agar mahasiswa dapat melihat masa depan selepas tamat pengajian daripada perspektif lebih luas dan tidak hanya memikirkan soal mendapatkan pekerjaan.



