KUCHING: Sarawak kini berada di landasan untuk mengukuhkan kedudukan sebagai destinasi gastronomi bertaraf antarabangsa menerusi penganjuran Piala Dunia Kulinari Borneo (BCWC) 2026 yang menghimpunkan puluhan cef serta hakim kulinari dari dalam dan luar negara.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, penganjuran pertandingan kulinari berskala besar itu bukan sekadar medan merebut pingat, sebaliknya menjadi platform penting untuk mengangkat standard industri makanan, membangunkan bakat tempatan serta memperkenalkan keunikan gastronomi Sarawak ke pentas dunia.

Menurutnya, BCWC 2026 merupakan pertandingan kulinari terbesar dan paling komprehensif pernah dianjurkan di Sarawak dengan menampilkan 10 kategori utama, 48 subkategori serta 74 hakim, termasuk 40 hakim antarabangsa dan 34 hakim dari Malaysia.
“Ini, dalam apa jua ukuran, merupakan pertandingan kulinari terbesar dan paling komprehensif yang pernah dianjurkan di Sarawak dan amat sesuai diadakan di Kuching.
“Acara ini juga menjadi sebahagian daripada Kuching Festival dan sambutan Hari Bandaraya Kuching serta selari dengan Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan Datuk Bandar Kuching Selatan, Datuk Wee Hong Seng pada Majlis Pembukaan BCWC 2026 di Dewan Alumni, Sekolah Jenis Kebangsaan Chung Hua No. 3, Jalan Padungan, hari ini.
Kui Hian berkata, penganjuran itu turut memperkukuh status Kuching sebagai Bandar Kreatif Gastronomi UNESCO yang menurutnya perlu diterjemahkan menerusi aktiviti dan pengalaman sebenar, bukan sekadar pengiktirafan di atas kertas.
Katanya, Sarawak tidak lagi mahu dilihat sekadar sebagai destinasi persinggahan, sebaliknya mahu pelancong datang khusus untuk menikmati pelbagai tarikan yang ditawarkan termasuk hutan hujan, festival dan makanan tempatan.
“Pelancongan gastronomi merupakan antara segmen pelancongan yang berkembang paling pantas ketika ini dan Sarawak, dengan gabungan tradisi kulinari masyarakat pribumi, Cina, Melayu dan Borneo, berada pada kedudukan yang sangat baik untuk bersaing di peringkat antarabangsa.
“Acara seperti BCWC 2026 bukan sekadar pelengkap kepada strategi tersebut, malah merupakan antara peneraju utamanya,” katanya.
Dalam pada itu, Kui Hian yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak berkata, pertandingan bertaraf antarabangsa itu mampu membantu meningkatkan tahap kebersihan, teknik penyediaan makanan dan persembahan dalam kalangan penggiat industri makanan tempatan.
Beliau berkata, pengetahuan serta pengalaman yang diperoleh cef tempatan melalui pertandingan berkenaan tidak akan terhenti di lokasi pertandingan, sebaliknya boleh dibawa kembali ke dapur hotel, restoran dan perniagaan makanan masing-masing.
Beliau turut mengiktiraf peranan Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) dalam memastikan pertandingan itu dapat dilaksanakan selepas berlaku perubahan lokasi, termasuk membantu mendapatkan dewan, permit serta mengurus akses awam.
“Kerjasama antara masyarakat sivil, industri dan kerajaan tempatan seperti inilah yang saya mahu lihat lebih banyak. Inilah cara idea yang baik dapat direalisasikan,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata aspek pembangunan bakat menjadi antara nilai paling penting dalam penganjuran BCWC 2026, khususnya menerusi program latihan penghakiman yang dikendalikan hakim antarabangsa sebelum pertandingan bermula.
Menurutnya, latihan yang diadakan di Legacy Hill Hotel dengan kerjasama Blue Point School of Hospitality and Culinary Arts itu memberi peluang kepada cef tempatan memahami standard penggredan, persembahan dan teknik pertandingan antarabangsa.
“Ini adalah pembangunan kapasiti. Ia membawa dunia kepada kita supaya bakat tempatan tidak perlu meninggalkan rumah untuk diuji mengikut standard antarabangsa,” katanya.
Beliau turut menyambut baik keputusan penganjur membuka pertandingan itu secara percuma kepada orang awam sepanjang tiga hari, dari jam 9.30 pagi hingga 4 petang.
Katanya, pendekatan tersebut membolehkan keluarga, pelajar dan golongan muda menyaksikan sendiri pertandingan berkenaan, sekali gus membuka peluang kepada mereka untuk melihat bidang kulinari sebagai pilihan kerjaya.
Beliau berkata, penglibatan pelajar Blue Point School of Hospitality and Culinary Arts sebagai sukarelawan turut menyediakan satu rangkaian pembangunan bakat yang penting bagi memastikan minat terhadap bidang kulinari dapat diterjemahkan kepada kemahiran dan peluang pekerjaan.
Dari sudut ekonomi, katanya, BCWC 2026 turut memberi limpahan kepada sektor perhotelan, perniagaan makanan, pembekal tempatan dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) apabila peserta, hakim dan pengunjung dari luar Sarawak berkunjung ke Kuching.
“Setiap pengunjung yang datang ke Kuching untuk pertandingan ini, setiap hakim yang menempah bilik hotel dan setiap keluarga yang tinggal sehari lagi untuk menyaksikan pertandingan akhir, semuanya menyumbang kepada momentum yang sedang kita bina untuk menjadikan Kuching destinasi makanan dan gastronomi yang serius,” katanya.
Pada masa sama, Kui Hian berkata penyertaan hakim dan peserta dari pelbagai negara turut menjadikan BCWC 2026 sebagai platform pertukaran budaya, dengan negara seperti Sri Lanka, China, Korea Selatan, Singapura, Thailand, Nepal, Mesir, Cyprus, Amerika Syarikat, India dan Vietnam antara yang diwakili.
Menurutnya, makanan sememangnya menjadi salah satu jambatan paling berkesan dalam menghubungkan masyarakat daripada latar belakang yang berbeza.
“Apabila begitu ramai individu dari pelbagai negara duduk bersama, sama ada di meja penghakiman atau menikmati hidangan bersama, sesuatu bentuk diplomasi turut berlaku di sebalik pertandingan.
“Makanan sentiasa menjadi antara jambatan paling berkesan antara budaya dan Sarawak bertuah kerana menjadi titik pertemuan begitu banyak budaya pada minggu ini,” katanya.
Beliau turut menyambut baik sumbangan peralatan dapur kepada UCCN Gastronomy Hub di Kuching yang dijadualkan berlangsung dalam program berkenaan.
Katanya, sumbangan tersebut mampu meninggalkan legasi yang lebih panjang berbanding sekadar penganugerahan pingat kerana peralatan, latihan dan standard yang dibangunkan boleh terus dimanfaatkan selepas pertandingan berakhir.
“Pingat mungkin dimenangi dan dikenang untuk satu musim, tetapi peralatan, latihan dan standard yang berakar di tempat kekal seperti Gastronomy Hub akan terus berfungsi lama selepas dewan ini dikosongkan dan sepanduk diturunkan.
“Itulah jenis legasi yang kerajaan Sarawak mahu lihat daripada setiap acara besar yang kita sokong,” katanya.
Pertandingan berkenaan berlangsung selama tiga hari sehingga Jumaat ini dan menghimpunkan cef profesional, tukang masak serta pelajar dalam pelbagai kategori pertandingan kulinari.





