PUTRAJAYA: Kerajaan Sarawak terus memperkukuh agenda pembangunan bumiputera menerusi pendekatan lebih bersepadu meliputi pengembangan perusahaan, pembangunan bakat, pembiayaan, akses pasaran dan penyertaan dalam sektor berimpak tinggi.
Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, usaha itu diperkasa menerusi kerangka strategik 3-7-20 bagi memastikan lebih banyak syarikat bumiputera berkembang dan menembusi pasaran lebih luas.

“Antara fokus utama kerangka berkenaan ialah penyenaraian syarikat bumiputera di Bursa Malaysia, pembangunan Regional Business Champions serta membantu perusahaan mikro berkembang menjadi syarikat sendirian berhad,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata demikian pada Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Majlis Ekonomi Bumiputera Bil. 2/2026 dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Putrajaya, hari ini.
Menurut Awang Tengah, agenda itu menunjukkan perkembangan positif apabila United Asiapac Energy Berhad berjaya disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 14 September lalu.
“Penawaran itu merekodkan permodalan pasaran RM192.50 juta, manakala dana RM48.74 juta berjaya diperoleh,” katanya.
Tambah beliau, sembilan lagi syarikat bumiputera Sarawak kini dikenal pasti untuk menuju ke arah penyenaraian, termasuk dua syarikat yang disasarkan berbuat demikian pada 2027.
Pada masa yang sama, Kerajaan Sarawak akan memperluas penyertaan bumiputera dalam sektor pertumbuhan tinggi termasuk hidrogen, petrokimia, pembuatan termaju, aeroangkasa dan semikonduktor selaras dengan aspirasi PCDS 2030.
Awang Tengah berkata, kerjasama antara syarikat bumiputera dengan bukan bumiputera turut digalakkan menerusi usaha sama, perkongsian teknologi, pembangunan vendor dan peluasan akses pasaran.
Dari aspek pembangunan bakat, katanya, usaha memperkukuh pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) diteruskan menerusi CENTEXS, Sarawak Skills serta kerjasama dengan agensi Kerajaan Persekutuan.
Jelas beliau, Kerajaan Sarawak turut memperuntukkan RM250 juta bagi pelaksanaan Skim Pendidikan Tinggi Percuma mulai tahun ini sebagai antara langkah memperkukuh pembangunan modal insan.



