KUCHING: Lawatan delegasi Perancis ke Sarawak membuka peluang kerjasama strategik dalam beberapa sektor utama termasuk aeroangkasa, tenaga boleh diperbaharui serta pembangunan industri berteknologi tinggi.
Delegasi tersebut diketuai oleh Duta Perancis ke Malaysia, Marc Abensour, dan turut disertai Atase Pertahanan Stefan Stefancic, Timbalan Penasihat Ekonomi Bouthaina Harfi, Ketua Business France Jean-François Ambrosio serta Atase Kebudayaan Thierry d’Anna.
Sepanjang lawatan rasmi selama dua hari di Sarawak, delegasi berkenaan mengadakan pertemuan dengan beberapa agensi dan pihak berkepentingan bagi memahami landskap pelaburan negeri serta keutamaan pembangunan strategiknya.
InvestSarawak dalam satu kenyataan berkata, perbincangan yang diadakan memberi tumpuan kepada peranan Sarawak yang semakin berkembang sebagai destinasi pelaburan mampan dan berteknologi tinggi.
“Perbincangan menumpukan kepada potensi Sarawak sebagai destinasi pelaburan dalam sektor berteknologi tinggi yang disokong oleh sumber tenaga boleh diperbaharui yang kukuh, infrastruktur industri serta dasar mesra pelaburan,” katanya.
Menurut kenyataan itu, delegasi Perancis memulakan lawatan di Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) dan disambut oleh Pengerusi SEDC Abdul Aziz Husain serta Pengurus Besar SEDC Rakayah Bujang.
“Mereka turut mengadakan perbincangan dengan Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) yang dihoskan oleh pengerusinya, Hamid Bugo bersama Naib Presiden Kanan Abang Arabi Abang Aimran.
“Lawatan ini bertujuan untuk meneroka peluang dalam sektor minyak dan gas termasuk aktiviti huluan, hiliran serta teknologi penangkapan karbon.
“Selain itu, lawatan tersebut diakhiri di InvestSarawak dan delegasi disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif Timothy Ong serta penasihat AirBorneo Holdings Sdn Bhd, Bruno Navet,” jelasnya.
Dalam pada itu, pihak berkepentingan Sarawak turut membentangkan agenda pembangunan negeri di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).
“Strategi ini memberi penekanan kepada pertumbuhan ekonomi mampan, pembangunan tenaga boleh diperbaharui dan pengembangan ekonomi digital bagi memperkukuh kedudukan Sarawak sebagai destinasi pelaburan yang berdaya saing,” ujarnya.





