MIRI: Sarawak terus memperkukuh integriti pelaporan karbon serta meningkatkan keupayaan penguatkuasaan alam sekitar bagi menyokong sasaran mencapai pelepasan sifar bersih menjelang 2050.
Timbalan Pengawal Kualiti Alam Sekitar Sarawak, Kenny Poon berkata perkara itu kerana integriti data merupakan asas utama kepada kredibiliti pelaporan pelepasan karbon.
“Ketepatan laporan hanya dapat dicapai melalui rekod data yang kukuh, disahkan serta disokong oleh log operasi sebenar, selain pemeriksaan fizikal di tapak bagi memastikan kesahihan maklumat dilaporkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Bengkel Prinsip Flowmeter dan Pengesahan Data Gas Rumah Hijau (GHG), baru-baru ini.
Jelasnya, bengkel itu menjadi platform penting untuk meningkatkan kompetensi teknikal pegawai penguat kuasa, memperluas perkongsian pengetahuan serta memperkukuh kapasiti kawal selia negeri dalam memastikan pematuhan kepada standard pelaporan GHG yang lebih tinggi.
Seramai 25 pegawai Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) Sarawak menyertai latihan teknikal berkaitan pengukuran aliran (flowmeter) serta pengesahan data GHG pada program berkenaan.
NREB dalam kenyataan memaklumkan bengkel itu, yang dianjurkan dengan bimbingan Dreamcatcher Consulting, bertujuan meningkatkan kefahaman peserta mengenai penjanaan, pengukuran, semakan, pengesahan dan pengauditan data pelepasan dalam sektor minyak dan gas dalam keadaan operasi sebenar.
Fokus utama latihan ialah aspek pengukuran aliran yang menjadi sumber data aktiviti penting dalam pengiraan pelepasan karbon, termasuk jumlah pembakaran gas (flaring) dan penggunaan gas sebagai bahan api.
“Peserta turut diberi penekanan terhadap ketepatan penggunaan flowmeter, kepentingan penentukuran berkala serta penggunaan data berkenaan dalam pengiraan pelepasan karbon dioksida bersamaan (CO₂e),” tambah kenyataan itu.
Selain itu, peserta turut menjalani latihan semakan laporan karbon bagi mengenal pasti ketepatan data serta mengesan kemungkinan pelaporan kurang atau berlebihan.
“Ia bertujuan memperkukuh integriti dan kebolehpercayaan pelaporan GHG oleh entiti perniagaan dalam sektor berkaitan,” ujarnya.
Bengkel berkenaan turut melibatkan latihan praktikal menilai rajah paip dan instrumentasi (P&ID) bagi sistem flaring, penyahhidratan gas, pemampat gas dan sistem pemisah.
Peserta juga didedahkan kepada persediaan pemeriksaan tapak melibatkan fasiliti dan peralatan seperti sistem flare, pemampat gas, sistem penyahhidratan, vesel pemisah serta tangki simpanan darat.
Program itu merupakan kesinambungan latihan terdahulu berkaitan asas kejuruteraan proses dan pelepasan karbon dalam industri minyak dan gas, selain menyokong pelaksanaan Ordinan Alam Sekitar (Pengurangan Pelepasan Gas Rumah Hijau) 2023.
Ordinan itu menetapkan keperluan bagi entiti perniagaan dalam sektor ekonomi berjadual, khususnya minyak dan gas serta tenaga, untuk mengemukakan laporan pelepasan karbon tahunan yang telah disahkan kepada NREB berdasarkan piawaian ditetapkan serta data aktiviti sebenar yang disokong dokumen teknikal seperti P&ID.


