KUALA LUMPUR: Kerajaan Sarawak menegaskan komitmennya untuk terus menyokong penganjur acara perniagaan di seluruh Malaysia bagi memperkukuh kerjasama strategik dalam memacu pembangunan ekonomi dan sosial selaras dengan agenda Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS 2030).
Komitmen tersebut disampaikan semasa siri penglibatan Ramadan anjuran Program Perniagaan Sarawak (BESarawak) di Kuala Lumpur.
Acara itu bertujuan mengukuhkan kerjasama dengan ekosistem acara perniagaan di peringkat nasional, selain memperluaskan peluang bidaan acara pada masa hadapan.
Timbalan Menteri Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Snowdan Lawan berkata kementeriannya melalui BESarawak sentiasa komited untuk menyokong organisasi di seluruh negara yang ingin menganjurkan acara perniagaan berimpak tinggi di Sarawak.
Beliau berkata demikian ketika mewakili Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah dalam sesi penglibatan bersama pemain industri acara perniagaan di Kuala Lumpur.
Menurut Snowdan, kerjasama antara Sarawak dan rakan industri di seluruh Malaysia amat penting dalam memastikan matlamat pembangunan negeri itu dapat diterjemahkan kepada manfaat nyata kepada pelbagai sektor industri serta komuniti.
“Dalam masa yang sama, Sarawak kini memasuki fasa akhir pelaksanaan pelan pembangunan PCDS 2030, sekali gus menjadikan kerjasama strategik dengan rakan industri sebagai faktor utama untuk memastikan setiap perancangan pembangunan dapat dilaksanakan dengan berkesan,” katanya.
Dalam pada itu, kejayaan Sarawak sebagai destinasi acara perniagaan banyak didorong oleh semangat kerjasama antara kerajaan, industri dan komuniti.
Beliau menjelaskan bahawa BESarawak turut melaksanakan pelbagai inisiatif impak legasi serta menyediakan sokongan komprehensif kepada penganjur acara bagi memastikan setiap acara yang dianjurkan memberi manfaat jangka panjang kepada Sarawak dan Malaysia.
Tambah beliau, antara inisiatif baharu yang diperkenalkan ialah Program Akademik Bergerak, yang membolehkan institusi pengajian tinggi menganjurkan lawatan akademik dan teknikal ke Sarawak.
Program tersebut bertujuan merapatkan hubungan antara penyelidikan akademik dan keperluan pembangunan tempatan, sekali gus menyokong aspirasi menjadikan Sarawak sebagai Model Legasi Perniagaan di Malaysia dan Borneo.






