KUCHING: Pengukuhan pelancongan domestik dijangka menjadi strategi penting bagi mengurangkan kesan ketidaktentuan global terhadap industri pelancongan, kata Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Beliau berkata Sarawak akan memberi tumpuan kepada strategi pengukuhan pelancongan domestik termasuk menggalakkan perjalanan dalam negeri seperti dari Miri ke Kuching dan sebaliknya.
“Susulan konflik di Asia Barat, saya menjangka industri pelancongan sedikit sebanyak akan menerima tempias kerana ramai orang mungkin berfikir dua kali untuk melancong, terutamanya apabila harga tiket penerbangan sudah mula meningkat.
“Apabila kos perjalanan meningkat, perancangan asal untuk bercuti mungkin ditangguhkan buat sementara waktu dan keadaan ini memberi kesan kepada industri pelancongan.
“Bagaimanapun, usaha akan dilakukan bagi memastikan sektor pelancongan terus bergerak melalui pengukuhan domestik seperti perjalanan dalam negeri yang dapat membantu menghidupkan semula industri ini di Sarawak dan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Juh Berambeh Sungkei di Padang Merdeka, malam tadi.
Menurutnya, sasaran lima juta pengunjung ke Sarawak tahun ini bergantung kepada tempoh konflik tersebut.
“Sekiranya konflik tersebut dapat diselesaikan dalam masa terdekat, prospek industri pelancongan menjelang hujung tahun masih berada pada tahap yang baik.
“Namun jika konflik ini berlarutan lebih lama, sudah tentu ia akan memberi kesan kepada pelancongan. Kita masih menunggu perkembangan semasa,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau turut menyarankan rakyat mengamalkan sikap berjimat cermat susulan konflik itu yang memberi kesan kepada ekonomi global melalui ketidakseimbangan penawaran dan permintaan.
“Konflik ini bukan sahaja memberi kesan kepada Malaysia malah turut mempengaruhi ekonomi dunia, khususnya melalui peningkatan harga minyak global.
“Sekatan terhadap laluan dan pengeluaran minyak di kawasan tertentu termasuk Selat Hormuz serta negara pengeluar minyak dan gas di rantau berkenaan telah menyebabkan lonjakan harga minyak dunia,” katanya.
Mengulas lanjut, katanya, jika bekalan minyak tidak dapat dikeluarkan pada kadar mencukupi sedangkan permintaan kekal tinggi, harga minyak akan terus meningkat.
“Apabila harga minyak meningkat, kos operasi gudang, kilang dan industri yang menggunakan bahan api turut meningkat.
“Keadaan ini memberi kesan rantaian seperti domino kepada harga barangan di pasaran, termasuk makanan seperti roti, ikan dan daging.
“Justeru, orang ramai harus berjimat cermat susulan kesan ekonomi global ini,” ujarnya.






