KUCHING: Sarawak akan memperkukuh penguasaan subjek Sejarah menerusi Program Pemantapan Pendidikan Sarawak (SEEP) bagi meningkatkan pencapaian calon dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada masa depan.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn, berkata sebelum ini tiada program tuisyen khusus bagi subjek berkenaan, namun langkah penambahbaikan tersebut diyakini mampu membantu lebih ramai calon lulus.
“Antara ‘killing subject’ (subjek yang mencabar) ialah Sejarah. Sebelum ini kita tiada program tuisyen untuk Sejarah…jika tidak, kita mungkin dapat melihat lebih ramai calon SPM yang lulus.
“Namun melihat situasi semasa, kita akan memasukkannya dalam program SEEP.
“Diharapkan tahun depan kita akan mencatat keputusan yang lebih baik,” katanya dalam sidang media pengumuman keputusan SPM 2025, di sini, hari ini.





