ARTIKEL

Sarawak Perlu Kurang Kebergantungan Import Beras – ADUN Tebedu

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Sarawak perlu mengurangkan kebergantungan mengimport beras bagi mengelakkan gangguan bekalan makanan pada masa hadapan.

ADUN Tebedu, Dr Simon Sinang Bada berkata, penubuhan Lembaga Padi dan Beras Sarawak akan membantu kerajaan dalam memantau simpanan beras tempatan, menyelaras pengeluaran dan mengawal tahap stok serta bertindak pantas ketika krisis.

Katanya, penubuhan lembaga itu amat diperlukan bagi memperkukuh keupayaan negeri untuk mengawal selia, menyokong dan membangunkan industri padi dan beras di Sarawak dalam usaha meningkatkan tahap sara diri kepada 60 peratus atau lebih tinggi serta memperkukuh keselamatan makanan, ketika ini terlalu bergantung kepada import.

“Ini amat penting kerana Malaysia masih mengimport sebahagian besar keperluan berasnya,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Lembaga Padi dan Beras Sarawak 2026 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.

Sinang berkata, ramai petani padi kini berdepan pelbagai cabaran termasuk harga yang tidak stabil, peningkatan kos baja dan jentera, kuasa tawar-menawar yang lemah serta kebergantungan kepada orang tengah.

Sehubungan itu, penubuhan Lembaga Padi dan Beras Sarawak mampu membantu menangani isu tersebut melalui jaminan harga padi yang lebih adil, penyediaan subsidi dan insentif, pemodenan kaedah pertanian serta penambahbaikan sistem pengairan dan logistik.

“Menyokong petani bermaksud melindungi kehidupan masyarakat luar bandar dan mengurangkan kemiskinan,” katanya.

Dalam masa sama, beliau berkata inflasi harga beras memberi kesan langsung kepada rakyat dan lembaga itu boleh memainkan peranan menstabilkan pasaran melalui kawalan rantaian bekalan, pemantauan harga serta memastikan pengagihan beras yang adil selain membanteras kegiatan penyorokan.

Beliau turut menegaskan Sarawak mempunyai sumber tanah dan potensi pertanian yang besar untuk meningkatkan tahap sara diri pengeluaran beras menerusi peluasan kawasan penanaman padi, pelaburan dalam pertanian moden, penggunaan benih hasil tinggi dan amalan pertanian mampan.

Tambahnya, kementerian juga boleh meneroka model pelaburan DBOT (Design-Build-Operate-Transfer) bagi meningkatkan produktiviti, sistem pengairan, pengurusan air, pengendalian pascatuai dan pendapatan petani.

Beliau berkata, lembaga di peringkat negeri membolehkan Sarawak menggubal dasar yang lebih sesuai dengan keadaan tempatan, mengutamakan kepentingan petani Sarawak serta memperkukuh pelibatan negeri dalam industri makanan strategik.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU