KUCHING: Sarawak perlu melahirkan lebih ramai pegawai keselamatan terlatih memandangkan keluasan geografi negeri ini dan keperluan terhadap jaminan keselamatan merangkumi daratan, sempadan, perairan, ruang siber serta komuniti penduduk yang bertebaran di pelbagai kawasan.
Datuk Snowdan Lawan, Ketua Pemuda Parti Rakyat Sarawak (PRS) yang juga Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak berkata demikian sebagai menyatakan sokongan terhadap cadangan Menteri Kerja Raya merangkap Ahli Parlimen Kapit, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi agar Sarawak Rangers dihidupkan semula sebagai kor keselamatan negeri.
Katanya, pasukan itu bukan sahaja akan memperkukuh landskap keselamatan di Sarawak, malah berperanan menangani keperluan keselamatan di kawasan pedalaman dan sempadan negeri.
Mengulas lanjut, Snowdan turut menyambut baik cadangan Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang membayangkan kemungkinan penawaran biasiswa kepada anak muda Sarawak untuk melanjutkan pengajian dalam bidang ketenteraan.
“Premier kita tampil dengan idea yang sangat baik – iaitu kemungkinan untuk menawarkan biasiswa kepada belia kita yang layak dan bersemangat untuk menyambung pengajian ketenteraan di Royal Military Academy Sandhurst yang berprestij di United Kingdom.
Snowdan menambah, usaha tersebut bukan sahaja akan melahirkan pegawai dalam bidang ketenteraan dan kepolisan, malah membuka laluan kepada pembangunan bakat dalam kepimpinan strategik dan keselamatan moden.
“Kepakaran perlu ada untuk kelengkapan seperti pencegahan jenayah komersial, pemantauan keselamatan serta pelbagai cabaran keselamatan global yang semakin terancang dan kompleks,” katanya.
Sarawak sudah pun mempunyai asas yang kukuh melalui penubuhan Pasukan Pengawal Pantai dan Unit Penguatkuasaan dan Keselamatan Sarawak (UPKS) di bawah kepimpinan Premier.
“Apa yang kita perlukan sekarang ialah pengisian tenaga kerja, pembangunan bakat dan kepimpinan.
“Dalam masyarakat kita yang berbilang bangsa, kita tidak kekurangan bakat. Apa yang perlu hanyalah platform dan peluang untuk menggilap potensi mereka,” jelasnya.



