KUCHING: Kerajaan Sarawak akan memperkenalkan kerangka yang lebih jelas bagi membolehkan badan berkanun yang mencatat lebihan kewangan yang sihat menyumbang pulangan tunai kepada negeri.
Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, langkah berkenaan akan membantu memperluaskan sumber hasil negeri.
“Sekali gus memperkukuh disiplin kewangan serta memastikan sumber awam digunakan dengan lebih berkesan bagi menyokong agenda pembangunan Sarawak.
“Syarikat milik kerajaan (SOE) yang lebih kukuh mesti mewujudkan nilai yang lebih besar, bukan sahaja untuk diri mereka sendiri tetapi juga untuk negeri dan rakyat yang mereka berkhidmat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Transformasi Syarikat Milik Kerajaan Negeri Sarawak (SOE) di Hotel Riverside Majestic di sini, hari ini.
Dalam perkembangan sama, Abang Johari berkata keuntungan keseluruhan kebanyakan SOE menunjukkan peningkatan antara 2023 dan 2024.
Menurutnya, syarikat di bawah Pejabat Setiausaha Kewangan Negeri merekodkan peningkatan hampir 58 peratus dalam pengisytiharan dividen.
Manakala, jumlah syarikat berkaitan badan berkanun yang mengisytiharkan dividen meningkat sebanyak 44 peratus.
“Ini merupakan perkembangan yang positif. Peningkatan ini membuktikan bahawa tadbir urus yang lebih kukuh, pengurusan yang lebih baik dan disiplin kewangan yang lebih tinggi mampu menghasilkan keputusan yang bermakna,” katanya.
Sehubungan itu, Abang Johari menekankan bahawa SOE perlu menyumbang dengan lebih bermakna kepada pembangunan negeri sebagai pulangan kepada rakyat Sarawak apabila sudah menjadi lebih kukuh dan menguntungkan.
Selain itu, tambahnya, ia membantu membiayai pembinaan jalan raya, sekolah, bantuan kebajikan, pembangunan luar bandar dan pelaburan masa hadapan.
“Saya menggesa entiti yang mencatat keuntungan supaya tidak mengehadkan pembayaran dividen kepada kadar minimum sekiranya memperoleh hasil yang tinggi.
“Prestasi yang lebih baik perlu diterjemahkan kepada pulangan yang lebih besar kepada negeri,” katanya.



