KUCHING: Keperluan menambah kemudahan pusat jantung di Sarawak menjadi antara fokus utama dalam usaha memperkukuh sistem kesihatan negeri, selaras dengan aspirasi mencapai autonomi kesihatan di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Timbalan Premier, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian berkata jurang kemudahan kesihatan di antara Sarawak dengan Semenanjung Malaysia masih ketara, khususnya dari segi akses kepada rawatan jantung.

Menurutnya, perbandingan jelas dapat dilihat apabila jarak di antara Kuching dengan Miri yang menyamai perjalanan dari Johor ke Pulau Pinang, hanya mempunyai satu pusat jantung, berbanding banyak kemudahan serupa di Semenanjung Malaysia.
“Kita tidak tamak, kita tidak perlu pusat jantung yang besar tetapi kita perlukan lebih banyak pusat jantung yang mudah diakses,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan penutupan Seminar Kenegaraan Malaysia Madani di kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Petra Jaya, hari ini yang dihadiri kira-kira 300 pemimpin komuniti terdiri daripada pemanca, temenggong, penghulu dan ketua masyarakat di Kuching.
Sim menegaskan bahawa Sarawak memerlukan jaringan pusat jantung yang lebih meluas supaya setiap kawasan utama mempunyai akses dalam tempoh perjalanan satu hingga dua jam.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar beberapa bandar utama seperti Sibu, Bintulu dan Miri dilengkapi dengan kemudahan pusat jantung bagi memenuhi keperluan rakyat di kawasan tersebut.


