ARTIKEL

SEJARAH… Tun Wan Junaidi bercakap pada Syarahan Negarawan bertajuk ‘Menulis Semula Sejarah Sarawak daripada Perspektif Kearifan Tempatan’ di Kuching, hari ini. FOTO: MOHD ALIF NONI

Sarawak perlukan lebih ramai sejarawan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Sarawak memerlukan lebih ramai sejarawan untuk mengkaji, menulis dan menerbitkan sejarah negeri secara menyeluruh bagi memastikan rekod masa silam kekal tepat serta tidak terputus untuk tatapan generasi akan datang.

Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, tanggungjawab berkenaan penting kerana negeri yang bertamadun tidak wajar membiarkan sejarahnya kekal tidak lengkap sehingga menyebabkan rakyat terpisah daripada sejarah sendiri.

FOTO: MOHD ALIF NONI

“Sehubungan itu, menjadi tanggungjawab sejarawan Sarawak untuk mengkaji, menulis dan menerbitkan sejarah masa silam demi membentuk rekod yang betul.

“Sesebuah negeri yang bertamadun tidak wajar membiarkan sejarahnya kekal tidak lengkap. Jika hal ini berlaku, warganya boleh terpisah daripada akar sejarah sendiri,” katanya pad Syarahan Negarawan bertajuk ‘Menulis Semula Sejarah Sarawak daripada Perspektif Kearifan Tempatan’ di sini, hari ini.

Jumlah sejarawan Sarawak pada masa ini masih terbatas, namun terdapat sarjana yang memberikan sumbangan besar terhadap penelitian sejarah awal negeri itu.

“Antaranya ialah Datuk Dr Sanib Said yang telah menjalankan penyelidikan hampir 50 tahun serta menghasilkan pelbagai makalah dan buku berkaitan sejarah awal Sarawak.

“Sanib meneliti beberapa negeri awal termasuk Negeri Sarawak, Negeri Samarahan, Negeri Sabangan, Negeri Kalaka, Negeri Saribas, Negeri Santubong dan yang terkini, Negeri Banting.

“Bukti kewujudan dan sejarah negeri-negeri ini ditemukan dalam bentuk manuskrip Melayu-Jawi seawal tahun 1885, termasuk Syair Negeri Santubong dan Syair Cetera Tarsilah Datu Abang Gudam dan Temenggong Kadir Negeri Saribas,” jelasnya.

Selain manuskrip katanya, hasil cari gali arkeologi prasejarah dan sejarah turut menjadi sumber penting, khususnya penelitian di lembah Sungai Santubong.

“Maklumat daripada sumber asing juga perlu diteliti, termasuk laporan rasmi kerajaan China sejak abad kesembilan serta syair Jawa yang memberikan petunjuk penting mengenai sejarah awal Sarawak.

“Sementara, penemuan sumber dan fakta baharu membolehkan garis masa serta ruang sejarah Sarawak diperluas jauh lebih awal daripada naratif yang lazim digunakan sebelum ini,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya periodisasi sejarah Sarawak disusun mengikut beberapa zaman utama.

“Antaranya ialah Sejarah Awal Sarawak, 300 Era Selepas Masihi hingga 1368 Era Semasa yang merangkumi Negeri Santubong-Sarawak, Negeri Samarahan, Negeri Kalaka, Negeri Sabangan, Negeri Malano dan Negeri Saribas.

“Ia diikuti Zaman Empayar Sriwijaya, Zaman Kesultanan Brunei dari 1368 hingga 1841/1905, serta Negeri Banting sebagai penemuan sejarah terbaharu.

“Periodisasi seterusnya merangkumi Zaman Dinasti Brooke 1841 hingga 1888 (1905), Zaman Dinasti Brooke 1888 hingga 1941, Zaman Jepun 1941 hingga 1945, Zaman Tanah Jajahan Mahkota British 1945 hingga 1963 dan Zaman Merdeka Dalam Malaysia dari 1963 hingga kini,” tambahnya.

Beliau berkata, penggunaan istilah Negeri Santubong-Sarawak dalam periodisasi itu bertujuan menjelaskan kesinambungan sejarah apabila Santubong memindahkan pusat pemerintahannya ke Lidah Tanah sebelum berkembang sebagai Negeri Sarawak.

“Banyak persoalan mengenai pusat pentadbiran masih belum terjawab. Contohnya, bilakah pusat pentadbiran berpindah ke Kuching?

“Siapakah pemimpin Sarawak yang memindahkan pusat pentadbiran ke Kuching dan bila? Perkembangan berkenaan turut memberi kesan terhadap sejarah perpindahan pusat pentadbiran sehingga ke Bandar Kuching yang wujud hari in,” jelasnya.

Dalam pada itu katanya, tempoh masa sejarah tidak seharusnya dilihat sekadar sebagai kaedah menghafal tarikh kerana setiap tahap sejarah mempunyai persoalan berkaitan kuasa, rundingan, konflik, perdagangan, perubahan pentadbiran dan kesannya terhadap masyarakat setempat.

“Setiap perubahan ruang dan sempadan turut membawa makna terhadap hubungan antara pusat dengan daerah, kerajaan dengan masyarakat serta adat tempatan dengan undang-undang baharu.

“Maka, tugas sejarawan bukan hanya menyebut bahawa sesuatu kawasan masuk ke dalam Sarawak pada tahun tertentu, tetapi menjelaskan bagaimana dan mengapa ia berlaku, siapa yang terlibat, apakah sumber yang membuktikannya dan bagaimana peristiwa itu membentuk Sarawak yang kita warisi hari ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menyeru masyarakat Sarawak sendiri supaya memainkan peranan dalam memastikan sejarah negeri ditulis, dibaca dan diajarkan dengan penuh amanah.

Katanya, sejarah Sarawak tidak seharusnya dibiarkan kecil dalam tulisan sarjana asing sehingga suara masyarakat tempatan hilang dalam catatan yang tidak lengkap.

BERITA LAIN

RM1.272 bilion perkukuh bekalan air di Sarawak

KUCHING: Enam projek bekalan air di Sarawak bernilai keseluruhan RM1.272 bilion akan diteruskan menerusi Pelan Pelaksanaan Berkala Pertama Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi meningkatkan akses

BERITA TERBARU

RM1.272 bilion perkukuh bekalan air di Sarawak

KUCHING: Enam projek bekalan air di Sarawak bernilai keseluruhan RM1.272 bilion akan diteruskan menerusi Pelan Pelaksanaan Berkala Pertama Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi meningkatkan akses

Polis tahan empat suspek kes khianat simbah cat

MIRI: Gara-gara tuntutan hutang pinjaman wang dalam talian yang dipercayai dibuat oleh anak lelakinya, seorang bapa berusia 54 tahun menerima ugutan sebelum kediamannya di sebuah